Terengganu, Malaysia
Kenyataan Media

Tanah Rakyat di Kampung Laut Terancam, Bakal Diambil Syarikat Besar

Tanah Rakyat di Kampung Laut Terancam, Bakal Diambil Syarikat Besar

Saya merujuk kepada satu surat jemputan yang diedarkan oleh Che Mat Bin Jusoh, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Laut bertarikh pada 6 Jun 2015 yang menjemput penduduk di sekitar Kampung Laut bagi merancang pembentukan satu Jawatankuasa Bertindak untuk menghalang satu cadangan Projek Perumahan Taman Suria Utama.

Projek itu yang bakal dikendalikan oleh AHT (Norlan United & Carriage Sdn Bhd) akan dibangunkan di atas tanah seluas kira-kira 350 ekar dan masih memerlukan 150 ekar lagi. Daripada jumlah itu dianggarkan lebih 50 ekar adalah tanah tapak rumah yang sedang didiami penduduk. Pengambil alihan balik tanah-tanah di kawasan yang terbabit, sedang dijalankan oleh Pejabat Tanah Kuala Terengganu. Menurut Che Mat, pengambilan tanah itu akan merugikan tuan tanah dan memberi keuntungan yang berlipat ganda kepada ‘pihak tertentu’.

IMG-20150612-WA0009 (2)Suka saya memaklumkan bahawa Kampung Laut adalah salah satu perkampungan di dalam Dewan Undangan Negeri Bukit Payong, yang mana saya menjadi Wakil Rakyat. Mereka adalah rakyat di kawasan saya. Saya menyedari akan isu ini dan telah lama saya kemukakan dalam sidang DUN Terengganu setelah mendapat maklumat berkenaan rancangan bagi membangunkan kawasan tersebut.

Bermula pada ketika sidang mengemukakan belanjawan Terengganu iaitu pada Disember tahun lalu, soalan saya ialah berkenaan adakah benar kerajaan negeri sedang merancang pembangunan di kawasan Atas Tol dan Kampung Laut (kedua-duanya kawasan yang berhampiran), telah ditolak begitu sahaja. Sedangkan ketika itu permohonan bagi penukaran status tanah telahpun dibekukan. Kemudian pada kesempatan yang kedua, pada sidang DUN Mei baru-baru ini, dalam ucapan Menjunjung Kasih saya kepada ucapan Perasmian Tuanku Sultan Terengganu, saya sekali lagi mengambil kesempatan mengemukakan persoalan tentang pembangunan tanah di sekitar Kampung Laut dan Atas Tol ini untuk diberikan penjelasan oleh YAB Menteri Besar Dato’ Abdul Razif Abdul Rahman.

Baharulah saya mendapat respon untuk soalan saya itu. Dalam jawapannya kepada dewan, MB menjelaskan sememangnya ada pembangunan yang dirancang di kawasan terbabit yang pada asalnya diberikan kepada Syarikat Naza, tetapi kemudiannya dipindahkan kepada Syarikat Norlan United.

Jadi mengapa soalan saya pada Disember 2014 itu ditolak? Adakah mungkin tersembunyi sesuatu? Melihat kepada penolakan awal penduduk Kampung Laut terhadap projek itu, saya yakin, ianya pastilah kerana melibatkan ketidakpuasan hati terhadap isu-isu seperti jumlah pampasan, lokasi penggantian tanah dan juga mungkin notis pengambilan yang berikan secara mengejut disamping kebanyakan tanah di situ ialah tanah warisan dan berada di pinggir Bandar Kuala Terengganu (kira-kira 10 km).

IMG-20150612-WA0006 (2)Isu-isu sebegini adalah isu asas yang sepatutnya kerajaan sedar dan maklum akan sensitiviti masyarakat Melayu kita. Kes-kes dahulu seperti kes Banggol Donas, Kampung Ladang, Paya Keladi adalah diantara senarai yang perlu dijadikan pengajaran kepada kerajaan. Kerajaan seharusnya mengambil kira akan rintihan rakyat bawahan.

Saya juga bimbang jika dengan pengambilan tanah ini, akan memberikan kesan kepada berkurangnya tanah rezab melayu. Ataupun tanah rezab melayu jika sekiranya digantikan pula, akan berada jauh di kawasan pendalaman yang menyebabkan pecahan kaum akan menjadi lebih besar, sebagaimana sekarang, kaum melayu majoritinya akan tinggal di kawasan luar bandar dan kaum lain akan mengisi ruang-ruang di bandar.

Beginilah nasib orang melayu yang tinggal dibawah pemerintahan Umno. Semenjak dahulu, sememangnya ahli-ahli Umno yang bawah, tiada harga walaupun bekerja keras bagi memenangkan Umno, akhirnya syarikat yang besar pula mendapat keuntungan.

Mungkin kerana sudah memaklumi akan keadaan itu, maka Pengerusi JKKK Kampung laut menulis dalam suratnya “merugikan kita sebagai pemilik tanah dan sebaliknya memberikan keuntungan yang amat besar kepada pihak tertentu”. Siapakah pihak tertentu itu? Oleh itu, sebagai wakil rakyat yang dipilih bagi menjalankan kewajipan di Bukit Payong ini, saya, tanpa mengira apakah parti mereka yang terbabit dengan pengambilan ini, akan sama-sama membantu bagi memperjuangkan isu ini bagi menyelamatkan tanah-tanah penduduk Kampung Laut daripada menjadi mangsa kepada pihak yang mungkin berniat serong.

Saya insyaAllah akan bekerjasama dengan mana-mana pihak bagi memastikan hak dan kedaulatan rakyat di kawasan saya dipelihara sebaik-baiknya mengikut lunas undang-undang. Saya tidak mahu pertelingkahan yang telah berlaku seperti di Banggol Donas, menimpa pula kepada rakyat di Bukit Payong hasil daripada kesilapan pihak-pihak tertentu.

Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong

KongsiWhatsAppTelegramThreadsX

Berita berkaitan