Saya mendapat mesej berbunyi “Saya ditangkap polis malam ni di Kg Baru dan akan dibawa oleh polis ke IPD Dang Wangi sekarang. Siasatan khas 9(5) Akta Perhimpunan Aman. Muhamad Azan Safar, Pengerusi TURUN”. Atas rasa hormat pada keberanian perjuangan anak muda ini saya dedikasikan tahniah dan kalungan doa agar beliau dirahmati.
Melihat senario kebebasan hari ini, saya berpandangan adalah tidak wajar sama sekali penangkapan ini dibuat. Ia sama sekali mencabuli kebebasan rakyat untuk menyuarakan pandangan. Apatah lagi tahanan seorang anak muda yang memimpin gerakan mahasiswa.
Sejarah tidaklah perlu mengulangi catatan luka lama. Siri-siri penangkapan politik sebegini akan hanya membuang rasa hormat kepada pihak berkuasa dan sudah tentunya hilang percaya kepada kepimpinan negara. Menteri Keselamatan Dalam Negeri tidaklah perlu membuktikan angkuh kuasa dengan siri-siri ugutan berbentuk tangkapan kerana ia akan lebih membangkitkan rasa marah dalam kalangan rakyat.
Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia(JUHAM) Dewan Pemuda Pas Malaysia akan membantu Saudara Azan Safar. Sebagai galang ganti, DPPM mengajak seluruh anak muda Malaysia untuk turun bantah pada 31 Disember 2013 ini di Dataran Merdeka bermula jam 9 malam.
Himpunan ini sebagai sebuah solidariti rakyat atas kenaikan harga barang. Kami juga membantah mana-mana pihak yang mahu menumbangkan kerajaan selain melalui pilihanraya yang sah. Himpunan aman ini adalah selari dengan kebebasan bersuara yang dijamin oleh perkara 10 perlembagaan Malaysia. Ayuh turun dan bantah.
Sekian, terima kasih.
SUHAIZAN KAIAT
kETUA DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA



























