Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, menyeru seluruh umat Islam agar melakukan Solat Jenazah Ghaib ke atas jenazah almarhum Dr. Fadi M. Albatsh,
”Sepertimana telah dimaklumkan bahawa jenazah Dr. Fadi M. Albatsh, imam Palestin dan pensyarah Universiti Kuala Lumpur yang ditembak mati pada sabtu lepas, akan dibawa pulang ke Palestin hari ini.
”Jenazah almarhum akan disolatkan di Surau Medan Idaman, Setapak selepas Zohor,” ujar beliau dalam satu kenyataan.
Justeru itu, beliau menyeru kepada seluruh umat Islam untuk menunaikan Solat Jenazah Ghaib ke atas jenazah almarhum di semua masjid dan surau.
”Insha Allah saya akan berada di Masjid Rusila, Marang bagi menunaikan solat tersebut selepas Zohor,” kata beliau.
Dalam pada itu, suspek kes pembunuhan pensyarah warga Palestin, Dr Fadi M R AlBatsh Fatma, dipercayai sudah mengkaji rutin harian dan pergerakan mangsa di lokasi kejadian beberapa hari sebelum itu.
Tujuannya adalah memastikan mereka tidak tersalah sasaran selain untuk mengetahui masa dan waktu yang tepat untuk mereka bertindak melakukan pembunuhan.
Sumber berkata, suspek juga turut melakukan pemerhatian kedudukan mana-mana kamera litar tertutup (CCTV) terutamanya di sekitar kawasan kejadian iaitu Kondominium Idaman Puteri, Jalan Meranti, Setapak, di sini, bagi mengelak identiti dikenal pasti.

“Melihat pada posisi satu CCTV yang paling hampir di lokasi kejadian iaitu di pagar utama sebuah sekolah berhadapan kediaman mangsa, sudut rakaman kamera didapati tidak dapat merakam situasi kejadian tembakan.
“Ini termasuk satu lagi CCTV yang dipasang dalam kawasan tempat letak kereta kondominium yang didiami mangsa turut tidak menghala ke arah tempat kejadian,” katanya ketika ditemui hari ini.
Katanya, suspek juga turut memantau laluan untuk digunakan iaitu sebelum dan selepas menembak mangsa.
“Selepas mengetahui pergerakan harian Fadi, suspek akan memilih hari dan waktu yang paling sesuai untuk bertindak melepaskan tembakan ke arah mangsa.
“Berdasarkan situasi hari kejadian, waktu yang dipilih adalah sekitar jam 5 pagi hingga 6 pagi, memandangkan keadaan persekitaran pada waktu itu sunyi dan mangsa yang juga imam di surau berhampiran akan berjalan seorang diri,” katanya, sebagaimana dilaporkan Berita Harian.
Hasil ‘persiapan rapi’ yang dilakukan suspek sebelum bertindak menjadikan segala pergerakan berjalan lancar dan identiti mereka sukar dikesan oleh pihak berkuasa hingga kini.
“Bagaimanapun atas maklumat yang petunjuk yang diberikan oleh beberapa saksi di lokasi kejadian, suspek mungkin dapat diberkas dengan mengambil kira lakaran wajah yang didedahkan pihak polis sebelum ini,” katanya.
Justeru mantan Ahli Parlimen Marang itu turut memhohon orang ramai berdoa buat roh Almarhum.
“Marilah kita mendoakan kesejahteraan roh almarhum di alam sana dan ditempatkan bersama para anbia, syuhada dan golongan soleh,” tambah Ustaz Hadi, dalam kenyataannya.











