Beliau turut mencadangkan agar kerajaan negeri melarang dan mengharamkan jualan arak murah yang boleh diperolehi dengan udah di kedai runcit, kedai perubatan Cina dan pasaraya di seluruh negeri.
Saya merasa teruja bagaimana seorang yang bukan beragama Islam boleh mencadangkan sedemikian. Pastinya berita cadangan Dr Xavier tidak akan disiarkan di mana-mana media rasmi negara ataupun ianya disiarkan dengan perspektif yang negatif. Inilah kelebihannya apabila Pakatan Rakyat menerajui kerajaan dengan pemimpinnya sentiasa berfikir masalah rakyat di bawah.
Dr Xavier Jayakumar mengetahui bahawa meminum minuman keras adalah haram di sisi Islam. Namun demikian, Islam tidak melarang penganut bukan Islam meminum minuman keras. Walaupun begitu, implikasi arak kepada tubuh seperti yang diketahui boleh memudaratkan kesihatan, malah boleh menyebabkan berlakunya gejala sosial yang lebih parah serta jenayah yang tidak terkawal.
Di atas segala-galanya, saya menyokong gesaan dan cadangan Dr Xavier Jayakumar agar kerajaan Selangor melarang perbuatan meminum minuman keras di tempat awam. Ia menyebabkan keharmonian masyarakat terganggu di samping botol-botol arak yang bertaburan dan pecah di kawasan orang ramai. Cadangan Dr Xavier juga wajar dipanjangkan kepada kerajaan Persekutuan agar penguatkuasaan tersebut dapat dilaksanakan ke semua daerah dan kawasan di seluruh negara. Kerajaan perlu berikan kuasa kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Polis agar dapat menguatkuasakan larangan tersebut di tempat yang dimaksudkannya.
Larangan ini bukan bermaksud untuk mengharamkan terus minuman keras kepada penganut bukan Islam. Mereka masih boleh memilikinya, namun terhad hanya kepada rumah dan kediaman mereka. Golongan bukan Islam tidak perlu khuatir dengan cadangan ini kerana ia tidak menjejaskan kehidupan mereka, malah mereka akan lebih selamat, masyarakat akan tenteram dan hidup dalam keadaan harmoni.
RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM)











