Sokong Pndaan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) 2022 Terengganu Dalam Usaha Mencegah Mungkar

75

PINDAAN SEKSYEN 29A ENAKMEN KESALAHAN JENAYAH SYARIAH (TAKZIR) 2022 TERENGGANU : SATU USAHA MENCEGAH PENULARAN BARAH DALAM MASYARAKAT

Lajnah Kesihatan PAS Pusat mengambil maklum akan kenyataan yang telah dikeluarkan oleh beberapa NGO kesihatan serta individu berkenaan pembentangan Sidang DUN Negeri Terengganu pada 10 November 2022, yang telah meluluskan pindaan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Seksyen 29A.

Bagi mengelakkan polemik berpanjangan, Lajnah Kesihatan PAS Pusat telah mengambil inisiatif menganjurkan satu sesi libat-urus bersama Ketua Pendakwa Syariah Negeri Terengganu, Tuan Haji Wan Abdul Malik mengenai pindaan berkenaan.

Melalui sesi tersebut yang telah diadakan pada jam 3 petang, 6 Disember 2022, beberapa rumusan dapat disimpulkan :

1. Seksyen 29A Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Terengganu yang baharu sahaja diluluskan oleh Kerajaan Negeri Terengganu adalah hukum Takzir (bukan hudud) yang melibatkan kesalahan berkaitan dengan melahirkan anak luar nikah. Perkara ini masih dalam ruang lingkup bidangkuasa yang telah diperuntukkan kepada Mahkamah Syariah melalui Akta 356.

2. Kesalahan yang berkaitan dengan Zina (hudud) telah pun diperuntukkan dalam Enakmen Jenayah Syariah II.

3. Pindaan ini bukanlah yang pertama seumpamanya di Malaysia. Seksyen bagi kesalahan yang sama juga diperuntukkan dalam sebahagian Enakmen-Enakmen negeri lain seperti di Wilayah Persekutuan, Selangor dan Melaka. Dalam ertikata lain, negeri selain Terengganu telah lebih awal mewujudkan peruntukan yang sama.

4. Kesalahan berkaitan dengan melahirkan anak luar nikah diwujudkan bagi membendung kes-kes yang melibatkan anak luar nikah dalam negeri Terengganu, yang dilihat semakin hari semakin meningkat. Dalam kes yang ekstrem, kelahiran tersebut berlaku berulangkali, dan si pelaku dengan tanpa rasa takut mengaku bersalah dan sanggup membayar denda yang dianggap rendah.

5. Falsafah pindaan juga adalah bukan untuk menjatuhkan hukuman, apatah lagi menzalimi atau menyeksa mereka yang melakukan perbuatan terkutuk tersebut, tetapi ianya bersifat mendatangkan kegerunan bagi mereka yang ingin berjinak-jinak ataupun ingin melakukan maksiat tersebut.

6. Enakmen ini tidak mendiskriminasi wanita kerana dengan jelas klausa di dalam seksyen tersebut memperincikan kedua-dua pihak (lelaki dan wanita) apabila disabit kesalahan, akan menerima hukuman seperti yang termaktub di dalam enakmen tersebut.

7. Kesalahan rogol atau melahirkan anak luar nikah hasil persetubuhan paksa tidak termasuk di dalam seksyen ini. Seksyen dengan jelas menghadkan hukuman kepada “hamil luar nikah akibat daripada persetubuhan yang dilakukan dengan kerelaannya (29 A (3))”. Ini secara automatik telah mengecualikan kes rogol daripada didakwa di bawah Seksyen ini. Perlu difahami, bahawa jenayah rogol adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Sivil dan bukannya di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.

8. Had umur di dalam penentuan enakmen ini adalah kepada wanita dan lelaki yang berumur melebihi 16 tahun. Bagi pelaku kesalahan di bawah umur 16 tahun, ianya dikategorikan sebagai pesalah muda. Hukuman bagi pesalah muda yang berumur 10 sehingga 16 tahun dalam negeri Terengganu tidak melibatkan penjara dan rotan.

9. Lajnah Kesihatan PAS Pusat dengan ini menyeru semua pihak, khususnya badan-badan profesional agar bersama berganding bahu dalam menyuburkan kefahaman berkenaan isu yang dibangkitkan ini. Usaha murni kerajaan negeri Terengganu untuk memartabatkan penyelesaian Islami dalam permasalahan umat Islam itu sendiri haruslah diberikan sokongan padu.

10. Langkah pihak kerajaan negeri Terengganu yang sedia bersua dan berbincang dengan mana-mana pihak yang ingin mendapatkan maklumat lanjut dan penerangan secara terperinci mengenai pindaan Enakmen tersebut haruslah dipuji. Ini menunjukkan ketelusan serta kesungguhan kerajaan negeri dalam melaksanakan inisiatif yang amat bermakna bagi umat Islam di negeri Terengganu.

11. Usaha pemeliharaan kesucian keturunan bukan sahaja sangat dititikberatkan dalam agama Islam, malah ianya adalah juga selari dengan amalan perubatan kontemporari yang menitikberatkan pencegahan penyakit. Sebelum sesuatu penyakit atau amalan seksual songsang menular menjadi barah yang membahayakan di dalam masyarakat, tindakan pencegahan yang serius haruslah diambil.

Prof. Madya Dr. Mohd Mazri Yahya
Pengerusi Lajnah Kesihatan PAS Pusat
AJK Kerja PAS Pusat.

7hb Disember 2022