SMK Alor Limbat RM19 juta bakal ‘runtuh’?

1655

Setiausaha PAS Terengganu, Haji Yahaya Ali berkata Sekolah Menengah Kebangsaan Alor Limbat yang sedang dalam pembinaan berharga RM18,900,000.00 masih belum dapat digunakan setelah tiga terlewat dari jangkaan.

Ini kerana, katanya bangunan tersebut disahkan oleh pihak Forensik Jabatan Kerja Raya (JKR) tidak selamat digunakan akibat berlakunya mendapan tanah.

“Setakat yang saya dimaklumkan, sekolah (SMKAL) ini patut telah dibuka sejak tahun 2010 lagi. Harga kos pengambilan tanah RM1,608,177,00 dan kos pembinaan sekolah pula hampir RM19 juta tapi sampai sekarang masih belum boleh digunakan.

“Isunya, dari pemilihan tapak lagi sebab asal kawasan hutan berair (tasek) sedangkan pilihan untuk pengambilan balik tanah yang lebih sesuai boleh dilakukan,” ujarnya.

Menurutnya, sebahagian dari kawasan pembinaan sekolah tersebut berlaku pertindihan dengan kawasan Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) pada zaman kerajaan PAS.

Oleh kerana, katanya tapak kawasan projek itu terpaksa ditambun ia melibatkan soal ‘supervision’ yang lemah hingga tanah sekeliling bangunan sekolah mendap dan bangunan jadi tergantung.

Persoalannya, kata Haji Yahaya, apakah pemilihan tapak projek sekolah berkenaan kerana kepentingan projek atau mempunyai agenda bagi mengeluarkan kayu balak.

“Inilah nasib rakyat Terengganu, kerja (rancangan) pandai buat projek tetapi gagal untuk membina projek yang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.

“Umpamanya, pembinaan stadium di Kompleks Sukan Gong Badak, projek yang runtuh dan bermasalah,” jelasnya.

Pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu 13 Ogos lalu, kerajaan mengesahkan dalam jawapan bertulis kos pengambilan tanah sekolah berkenaan berharga RM1,608,177.00 dan pengoperasian tidak dapat ditentukan kerana berlaku mendapan tanah.