Sikap Pemimpin BN Tidak Mendidik Generasi Belia

1108

Saya merakamkan rasa kecewa yang teramat sangat di atas pengumuman kenaikan harga minyak petrol RON 95 dan Diesel sebanyak RM 0.20 seliter daripada RM 1.90 kepada RM 2.10 dan RM 1.80 kepada RM 2.00 seliter bermula 03 September 2013 lalu oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Najib Tun Razak baru-baru ini. Pada 5 September 2013 pula harga minyak petrol RON 97 juga telah mendapat kenaikan sebanyak RM 0.15 seliter kepada RM 2.85 berbanding RM 2.70 seliter sebelum ini.

Alasan retorik pihak kerajaan bahwa kenaikan perlu dilaksanakan sebagai langkah rasionalisasi subsidi oleh pihak kerajaan yang boleh menjimatkan RM 1.1 bilion pada tahun ini. Penjimatan tersebut pula akan digunakan untuk pembayaran BR1M dan perlaksanaan program infrastruktur.

Saya melihat pihak kerajaan Persekutuan sering mengemukakan alasan yang cukup dangkal apabila terpaksa melakukan sesuatu tindakan yang tidak popular terutamanya seusai Pilihanraya Umum ke 13 lalu. Kenapa pihak kerajaan persekutuan tidak mengambil inisiatif untuk mencontohi langkah-langkah penjimatan dan berhemah yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Rakyat seperti Selangor, Kelantan dan Pulau Pinang. Selain itu pihak kerajaan persekutuan perlu juga menutup ruang-ruang ketirisan yang cukup parah akibat rasuah, salah guna kuasa, kronisme, nepotisme dan Umnoputra.

Selain tu, ‘teriakan dan lolongan’ bapak menteri Umno yang menjaga hal ehwal pengguna, Datuk Hassan Malek yang sebelum ini ‘berangan’ kerana mengatakan bahawa kenaikan harga minyak adalah khabar angin semata-mata meminta supaya para peniaga tidak mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barangan sesuka hati daripada kenaikan harga minyak ini adalah satu ucapan politik populis semata-mata. Benarlah kata Tun Mahathir bahawa Umno dan Barisan Nasional kini semakin kehilangan orang bijaksana dan pintar. Yang tinggal hanyalah orang yang pandai mengampu dan membodek sahaja. Bagaimanakah seorang menteri tidak dapat untuk memikirkan kesan para peniaga yang terpaksa menangung kos yang lebih hasil daripada kenaikan harga minyak ini. Kos peningkatan pengurusan kerja, kenderaan dan modal pusingan tetap akan berlaku apabila berlaku kenaikan harga minyak. Inilah bahana negara apabila orang yang dilantik sebagai pengawal pemerintahan terdiri daripada orang-orang yang bukan daripada ahli yang layak, maka akan berlaku kehancuran samada dari segi pemikiran, tindakan dan sebagainya.

Umum sedia mengetahui bahawa dangan kenaikan harga minyak petrol dan diesel ini dengan secara langsung akan menyumbang kepada kenaikan harga barangan di pelbagai sektor. Dan yang akan menerima kesan terbesar terhadap isu ini adalah golongan yang berpendapatan sederhana dan rendah terutamanya golongan belia. Golongan belia adalah golongan yang menerima kesan yang agak besar kerana meraka inilah mewakili kelompok baru golongan yang baru memulakan kehidupan sehabis mereka menyelesaikan pengajian masing-masing. Kelompok inilah yang baru berjinak dengan bayaran hutang pengajian, alam pekerjaan, perumahan, gerbang perkahwinan, alam bekeluarga dan pelbagai lagi cabaran hidup yang perlu diharungi. Oleh itu, pastinya kenaikan mendadak harga petrol ini sudah pasti mendorong kesusahan kepada kelompok belia ini.

Sudah pasti golongan belia masa kini telah disibukkan dengan tugasan mencari nafkah kendiri dan tidak langsung peka terhadap suasana persekitaran mereka. Para belia yang sepatutnya menjadi tunggak kepada pimpinan pelapis negara pada masa akan datang kini akan menjadi belia yang akan hanya memikirkan keperluan untuk diri sendiri dan keluarga mereka sahaja. Inilah hasil kerja Umno dan Barisan Nasional selama ini mendoktrinkan kebendaan materialistik kepada pemikiran belia sehingga menjadikan para belia kini hilang jati diri kerana terpaksa bergantung hidup dengan ‘hadiah’ BR1M serta pelbagai lagi sogokan wang dan hiburan daripada pihak Umno dan Barisan Nasional. Maka kesan selanjutnya kita akan melihat pemikiran belia yang akan menjadi pimpinan pelapis pada masa hadapan tidak lagi mempunyai integriti dan kebertanggungjawaban untuk menyelesaikan permasalahan yang berlaku di dalam negara daripada sudut ekonomi, pendidikan, pemerintahan dan sebagainya. Kita tidak mahu dan tidak sanggup untuk melihat generasi belia masa kini meneruskan legasi pemerintahan pemimpin Umno dan Barisan Nasional yang penuh dengan kecurangan, rasuah, ketirisan, pembaziran, pemborosan serta pelbagai salah laku yang dimaklumi oleh rakyat.

Akhirnya, saya menegaskan bahawa kenaikan harga minyak petrol ini akan menyumbang kepada pelbagai lagi kesan negatif terutamanya dengan keadaan ekonomi rakyat yang sangat kritikal. Sepatutnya pihak kerajaan persekutuan telah mengubah kaedah dan corak pemerintahan kerajaan kepada pengurusan yang lebih berhemah di dalam menjaga kemashlahatan rakyat. Pihak kerajaan persekutuan perlu mencari kaedah yang lebih sesuai untuk mengurangkan beban terhadap rakyat dan mengelakkan daripada melakukan pemborosan terhdap perkara-perkara yang tidak memberi manfaat kepada rakyat.

Y.B. DR. AHMAD YUNUS BIN HAIRI
EXCO NEGERI SELANGOR
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia & Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam
ADUN Sijngkang (PAS)
06 September 2013