Perancangan yang baik tetapi perlaksanaan yang penuh dengan bermacam masaalah sehinggakan hanya 26 unit sahaja sehingga Disember 2017 berjaya diduduki, itu pun banyak masalah lain belum dibereskan. Projek Perumahan Generasi Baru Felda (PGBF) yang diumumkan oleh Perdana Menteri sebagai perancangan penyelesaian masalah rumah anak generasi kedua Felda sangat dinantikan oleh seluruh anak peneroka Felda.
Projek yaang dimulakan sebelum Piliharaya Umum yang lalu untuk membina 20,000 unit rumah PGBF dalam tempoh lima tahun bermula 2013 dengan sasaran 4,000 unit kediaman disiapkan setiap tahun ternyata gagal dan peratusan siap dan serah sangat kecil di bawah satu peratus. PGBF sepatutnya siap sepenuhnya 2018 namun, timbul beberapa masalah antaranya isu pengambilan tanah, kemudahan utiliti, kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta pemilihan kontraktor yang bermasalah dan tidak mampu.
Jika menurut perancangan, sepatutnya akhir tahun 2017, sebanyak 16,000 unit PGBF sudah boleh diduduki oleh anak-anak peneroka di seluruh negara. Pahang antara negeri yang paling banyak mendapat peruntukan ini sepatutnya sudah dapat menyelesaikan sekurangnya 4000 ribu keluarga. Sehingga akhir 2016, hanya beberapa projek berjalan. 8,470 unit sahaja yang berjaya melalui proses tender dan kerja awal tanah dilakukan.
Sebelum projek PGBF, Felda telah melancarkan projek Perumahan Warga Felda (PWF) dan Sentuhan Kasih, juga melalui nasib yang sama walaupun tidak seteruk PGBF, ada PWF seperti di Felda Neram Terengganu, walaupun sudah siap sepenuhnya, tetapi sehingga akhir 2017 belum diserahkan. Tidak dinafikan PWF sudah diduduki dibeberapa tanah rancangan. Begitu juga dengan Projek sentuhan Kasih yang angkanya masih kecil.
Apakah nasib projek PGBF yang bernilai RM1.4 bilion ini akan berjaya disiapkan dalam tempoh tidak sampai setahun ini? Walaupun sebelum ini Pengerusi Felda yang dipecat, Tan Sri Isa Samad memberi jaminan 11,530 unit akan siap sepenuhnya 2018 dilihat mustahil untuk dijayakan. Ini kerana Fasa pertama 8,470 hanya tinggal angka.
Tidak ada angka tepat projek ini yang telah siap, hanya setakat ini, 26 unit sahaja direkodkan sudah diduduki iaitu di Felda Padang Piol. Penyerahan rumah ini dilakukan sendiri oleh Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Abd Samad pada Jan 2017 di Pahang selepas dua minggu dilantik mengantikan Pengerusi yang lalu.
Jika Fasa pertama Felda gagal menyiapkan sejumlah separuh dari 20,000 unit yang sepatutnya boleh diduduki 2014, agak tidak munasabah mereka berjanji dalam masa berbaki satahun lagi Fasa kedua ini boleh dilaksanakan dengan jayanya. Di Pahang sahaja ada tujuh PGBF yang disenaraikan sakit iaitu Felda Bukit Sagu, Felda Sungai Retang, Felda jengka 12, Felda Jengka 6, Felda Bukit Tajau, Felda Kg Awah dan Felda Chini 3. Banyak lagi PGBF di negeri ini yang masih peringkat kerja awal dan menghadapi masalah dan melepasi tarikh sepatutnya siap.
Manakala di Terengganu PGBF Felda Kertih 5 pembinaan yang sangat perlahan dan sudah tiga tahun melewati tarikh jadual siap. Di Felda Chalok Barat hanya kerja tanah penyediaan tapak sahaja walaupun sudah beberapa kali tawaran penjualan rumah dikeluarkan sehingga sudah dipanggil temuduga. Terbaharu Menteri Besar Terengganu menjanjikan pula projek perumahan ini di Felda Belara.
Apakah kesudahan PGBF ini di seluruh negara? Projek yang sangat dinantikan oleh generasi kedua Felda seolah tiada tanda akan selesai apabila Kerajaan terus PGBF ini tidak ada jaminan dan tambahan peruntukan dalam Bajet 2018 sebaliknya kerajaan hanya menawarkan kebenaran pembinaan rumah kedua melalui pembiayaan seperti SPNB di atas lot rumah peneroka dan tawaran lot tapak rumah akan diperbanyakan.
Apakah akan ada lagi majlis pecah tanah, majlis penyerahan borang lot rumah, majlis temuduga tapak rumah akan diulang sekali lagi untuk memberi harapan demi harapan kepada generasi kedua dan ketiga Felda menjelang bulan-bulan terakhir tempoh penggal Parlimen 13 ini? Mana janji terdahulu Perdana Menteri? Apakah ini balasan undi warga Felda yang lepas sehinggakan memberi kemenangan 48 kerusi daripada 54 kerusi Parlimen kepada Barisan Nasional? Sudah tentu anak generasi kedua Felda ada jawapanya.
Sekian.
Naraza Muda
Timbalan Pengerusi Hal Ehwal Felda Lajnah Tanah PAS Pusat.
31 Jan 2018 | 14 Jamadil Awwal 1439H
Artikel berkait sebelum ini;
Selepas Lima Tahun, Mana Rumah Kami? Sekarang Janji Lot Tanah Atas Sungai Pula
Kempen Borang Rumah Generasi Felda Terengganu Semakin RancakFelda
Felda Perllu Selesaikan Segera Perumahan Generasi Kedua











