Ia bakal ditandatangani Isnin ini. [Gambar – MILF telah lama inginkan perdamaian namun terhalang oleh kedegilan pemerintah Filipina sejak 16 tahun lalu]
Persetujuan mengenai rangka kerja itu dicapai setelah proses rundingan panjang yang berkali-kali menemui jalan buntu dan disambung semula.
Ia dijangka mengakhiri pemberontakan yang telah berlangsung berdekad-dekad lamanya bagi pemerintahan sendiri di kawasan selatan Filipina, yang telah mengorbankan lebih 150,000 jiwa dan menghambat pembangunan di Mindanao.
Namun, kedua-dua pihak mengakui beberapa perkara sensitif masih perlu dibincangkan dan rangka kerja ini hanya permulaan sebelum Bangsamoro dapat mentadbir sendiri kawasan selatan Filipina.
Rundingan damai
Rundingan antara MILF dan pemerintah Filipina telah beberapa kali tergendala dan menghadapi jalan buntu.
Walaupun perjanjian damai pernah beberapa kali dicapai namun peralihan kuasa menyebabkan persetujuan yang dicapai dibatalkan.
Pada 2008, Mahkamah Agung Filipina memutuskan perjanjian awal yang dicapai kumpulan itu dengan pentadbiran Presiden Gloria Arroyo tidak sah dan konflik tercetus lagi.
Dua komander MILF memimpin serangan di kawasan yang mempunyai majoriti penduduk Kristian dan akibatnya sekitar 400 orang terbunuh.
Jika perjanjian terbaru berjaya dilaksana, ia akan memberi MILF kuasa mentadbir lebih 700 bandar dan kota di selatan Filipina.
Selain kegagalan perjanjian antara MILF dengan pentadbiran Cik Arroyo, sebelum itu terdapat beberapa perjanjian antara kumpulan bersenjata Moro dengan pemerintah Filipina yang turut gagal dilaksana.
Ini termasuk Perjanjian Tripoli yang ditandatangani pada 1976 di Libya.
Pada 1989 pula, presiden Filipina ketika itu, Cik Corazon Aquino, ibu presiden sekarang, Encik Benigno Aquino III, menandatangani undang-undang yang membawa kepada pembentukan Wilayah Autonomi Muslim Mindanao (ARMM).
Kawasan ARMM merangkumi wilayah di tanah besar, Maguindanao dan Lanao del Sur, serta kepulauan Sulu, Tawi-Tawi dan Basilan.
Namun, Cik Arroyo menarik balik kuasa yang diamanahkan kepada dua pegawai tinggi tentera yang mentadbir wilayah majoriti Moro pada 2009 setelah 57 orang awam terbunuh dalam percaturan siasah di Maguindanao.
Sejarah
MILF, yang kini dianggap sebagai kumpulan pemberontakan Islam terbesar di Filipina dengan 12,000 anggota, memulakan rundingan dengan pemerintah Filipina pada 1997.
Ia dibentuk secara rasmi pada Mac 1984 setelah puak yang dipimpin Encik Salamat Hashim berpisah daripada Barisan Pembebasan Nasional Moro (MNLF) pada 1978 untuk membentuk sebuah negara Islam merdeka dan bukan sekadar mendapat kuasa autonomi, yang ingin dicapai MNLF.
Pada lewat 1990-an, MILF membenarkan rangkaian pengganas Al-Qaeda dan Jemaah Islamiyah berlindung dan berlatih di pangakalan mereka.
Namun, MILF memutuskan hubungan dengan dua rangkaian pengganasan itu dan kumpulan tegar, Abu Sayyaf, pada 2004 demi menyelamatkan rundingan damai dengan pemerintah Filipina serta mengelak daripada dilabel sebagai kumpulan pengganas asing oleh Amerika Syarikat dan negaranegara Barat.
Pada Ogos tahun lalu, Presiden Aquino III pergi ke Jepun untuk bertemu pengerusi MILF, Encik Murad Ebrahim, bagi memulakan semula rundingan damai. Ia kali pertama beliau dan ketua MILF itu bersua muka.
Cabaran
Seperti usaha mencapai perdamaian sebelum ini, ada kebimbangan ia juga tidak tercapai kali ini kerana adanya golongan yang disifatkan sebagai ‘pengacau kedamaian’ oleh MILF.
Golongan ini menyebabkan memorandum persefahaman bagi tanah pusaka (MoA-AD), yang sepatutnya ditandatangani pada Ogos 2008 dibatalkan.
Akibat petisyen golongan pengacau kedamaian yang terdiri daripada beberapa ahli politik dan pemimpin agama Katolik, Mahkamah Agung Filipina akhirnya memutuskan memorandum persefahaman itu tidak mengikut perlembagaan.
Pembatalan penandatanganan memorandum itu menyebabkan keganasan dan 700,000 hingga 800,000 orang terpaksa berpindah. Kebanyakan mereka penduduk Muslim Filipina atau puak Moro.
Kini beberapa anggota golongan itu kembali membantah rangka kerja perjanjian damai baru ini.
Menurut wartawan mapan Manila Bulletin, Tempo dan Balita, Encik Edd K. Usman, yang berasal dari Mindanao, kejayaan rangka perjanjian baru itu bergantung pada kepimpinan dan keazaman politik Presiden Aquino III.
“Jika Presiden Aquino hilang komitmen dan keazaman mencapai kedamaian di Mindanao, mungkin pengacau kedamaian akan mendapat ruang untuk memainkan peranan seperti yang mereka lakukan untuk MoA-AD,” katanya.
Sekarang Presiden Aquino III menikmati tahap sokongan tinggi dan beliau boleh memanfaatkan sokongan itu bagi memastikan proses damai itu dilaksana, tambah beliau.
Menurut Encik Usman lagi, walaupun keazaman Encik Aquino untuk mencapai perdamaian diuji pada Oktober tahun lalu apabila 19 askar elit dibunuh askar MILF di Basilan, beliau tetap teguh.
Beliau juga tidak melatah ketika beberapa pihak menggesa agar rundingan damai dihentikan dan perang dilancarkan terhadap MILF.
Sebaliknya, Encik Aquino memerintahkan agar mereka yang bertanggungjawab dijejaki tetapi tidak memerintahkan agar MILF sebagai sebuah pertubuhan diburu.
“Tidak seperti mantan presiden, Encik Joseph Estrada dan Cik Arroyo, presiden sekarang, Encik Aquino, belum pernah memerangi MILF atau sebarang kumpulan bersenjata Moro,” kata Encik Usman.
Perang besar-besaran
Sejurus memegang jawatan presiden pada 1998, Encik Estrada mengisytiharkan perang besar-besaran ke atas MILF. Askar Filipina menyerbu kubu kuat MILF dan menyebabkan beratus-ratus orang terbunuh.
“Pada Julai 2001, di akhir pertempuran, askar Encik Estrada membawa daging babi panggang dan minuman keras ke dalam sebuah madrasah untuk berpesta. Madrasah itu berada dekat dengan sebuah masjid. Ia tamparan hebat kepada Bangsamoro dan ramai daripada mereka tidak akan melupakan peristiwa itu,” kata Encik Usman.
Menurutnya lagi, pentadbiran Cik Arroyo juga melakukan perkara yang melukakan hati dan menimbulkan kemarahan penduduk Islam Filipina.
“Semasa sambutan Hari Raya Aidiladha tahun lalu, Cik Arroyo memerintahkan serangan besar-besaran ke atas Kompleks Buliok, yang merintangi wilayah Maguindanao dan Cotabato Utara.
“Pengerusi MILF, Encik Salamat Hashim, sedang menyampaikan khutbah Hari Raya apabila bom dan tembakan artileri menghujani kubu kuat MILF,” ujar Encik Usman.
Menurutnya, ketika itu Kompleks Buliok kubu kuat kedua MILF setelah jatuhnya Perkhemahan Abubakar As- Siddique, juga di Maguindanao, semasa peperangan besarbesaran pentadbiran Encik Estrada terhadap MILF.
Namun, berbeza daripada usaha damai sebelum ini, rangka kerja perjanjian damai kali ini mendapat perhatian dan sokongan masyarakat antarabangsa.
Sokongan antarabangsa
Pada Isnin lalu, Setiausaha Agung Pertubuhan BangsaBangsa Bersatu (PBB), Encik Ban Ki-moon, memuji rangka kerja perjanjian damai itu.
Malah, beliau turut mengikrarkan bantuan PBB, jika diperlukan.
Encik Ban, dalam kenyataan yang dikeluarkan PBB, memuji Presiden Aquino kerana visi dan keberanian beliau, selain komitmen Encik Aquino serta kepimpinan MILF dalam mencapai mercu tanda itu.
Pemimpin PBB itu juga menyampaikan ucapan agar pemerintah dan penduduk Filipina menikmati kedamaian dan kemakmuran, terutama sekali penduduk di wilayah separa autonomi baru, yang dipanggil Bangsamoro.
Setelah beberapa kali tergendala, MILF menggesa agar masyarakat antarabangsa lebih dilibatkan dan menyarankan pembentukan Kumpulan Hubungan Antarabangsa (ICG), yang akan membantu memastikan sebarang perjanjian yang ditandatangani MILF dan pemerintah Filipina akan dipatuhi pemerintah Filipina.
“Ini antara perbezaan ketara perjanjian baru ini dengan perjanjian yang cuba dicapai sebelum ini,” kata Encik Usman.
Ramai warga Filipina, termasuk puak Moro, juga semakin letih dengan keganasan di Mindanao, tambah beliau.
“Mereka benci melalui satu lagi peperangan kerana mereka yang paling merasakan kesannya. Hidup mereka terjejas, kegiatan ekonomi mereka dihambat, anak-anak mereka terpaksa berhenti sekolah, masa yang boleh diluangkan membuat kerja-kerja lebih produktif terpaksa dihabiskan di pusat pemindahan yang sesak, panas dan menyedihkan. Masyarakat mana yang sukakan keadaan sedemikian.
“Beribu puak Moro, tidak, beratus ribu masyarakat Moro, melalui proses itu setiap kali pertempuran tercetus antara kumpulan bersenjata Moro dan askar pemerintah,” katanya lagi.
Tarikh akhir 2016
“Diketahui ramai bahawa MILF telah memberi amaran tentang kemunculan lebih ramai pemimpin pemberontak radikal dan anggota MILF yang tidak mempunyai kesabaran untuk melalui proses rundingan damai yang panjang.
“MILF telah menyatakan bahawa rundingan harus diselesaikan awal kerana ada di kalangan anggota mereka yang kecewa akan rundingan damai yang sudah berjalan sejak Januari 1997 dan kini sudah tahun 2012 tetapi kedamaian masih belum dapat dicapai,” kata Encik Usman.
Beliau berharap sedang pemerintah Filipina dan MILF melihat 2016 sebagai tarikh akhir bagi menyelesaikan perjanjian damai itu, mereka akan berusaha keras untuk menyelesaikannya lebih awal, menjelang pertengahan tahun depan.
“Tarikh akhir 2016 memberi kedua-dua pihak satu fokus, dan peringatan bahawa mereka tidak boleh terus-terusan berunding. Mereka harus kerja keras dan tidak hilang pegangan terhadap proses damai,” katanya.