Oleh : Khalid Abdullah
KEMAMAN – Wanita Islam atau muslimat perlu memuliakan diri mereka dengan tuntutan berhijab dan menjaga aurat sebaiknya.
Seruan isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ustazah Husna Abdul Rahman, yang juga menyifatkan berhijab merupakan kewajiban bagi seorang muslimat yang boleh menyebabkan penampilan mereka dipandang mulia oleh masyarakat.
“Berhijab juga bukan hanya sekadar menutupi rambut dan kepala, lebih dari itu, Allah Subhanahu Wa Taala memerintahkan kepada muslimat untuk menutupi auratnya, iaitu seluruh tubuh kecuali wajah dan telapak tangan.
Sebelum itu, Ustazah Husna berucap di hadapan hampir 300 orang pengunjung ‘Terengganu Hijab Day 2019’, yang diadakan di Pantai Kuala Kertih, di sini, pada petang Jumaat, semalam.
Sementara itu, Pengarah Program Sambutan ‘Terengganu Hijab Day’ Peringkat Parlimen Kemaman, Nor Arbaeyah Wahab, memberitahu, sambutan program sebegini, adalah acara tahunan cetusan idea Nazma Khan yang mula disambut pada tahun 2013 lagi.
“Acara ini disambut pada 1 Februari di 190 negara di seluruh dunia.
“Nazma Khan memperkenalkan ‘World Hijab Day’ selepas beliau dibuli dan menjadi mangsa diskriminasi kerana berhijab.


“Menurut Nazma, kebanyakan orang menganggap hijab sebagai simbol penindasan. Dengan acara ini, Nazma berharap ia dapat mengubah fikiran orang bukan Islam tentang mengapa wanita Islam memilih untuk memakai hijab,” ujar beliau.
Program ‘Terengganu Hijab Day 2019’ dianjurkan secara bersama oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Pertubuhan Hawa Harmoni Sejahtera Terengganu (HANEES) dan Nisa Negeri Terengganu.
Pantai Kuala Kertih menjadi salah satu venue sambutan selain Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu dan Arena Square di Dungun.