KUALA TERENGGANU – Orang ramai diseru membantu pelarian Rohingya demi menyelamatkan nyawa dan akidah mereka dari kekejaman tentera junta Myanmar.
Dendam kesumat serta rasa kebencian yang tinggi terhadap Islam, Rohingya diperlakukan seperti binatang dan dibunuh dengan kejam.
Oleh itu, Pengerusi Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI), Dr Azman Ibrahim berkata NGO tersebut akan berkolaborasi dengan PAS Relief dalam Misi terdekat, 8hb hingga 12 Oktober ini.
Katanya, empat orang anggota KAMI akan memulakan perjalanan ke kem Pelarian Rohingya Cox Bazar bermula lusa.
“Bagi menjayakan misi media dan kemanusian ini, empat orang ‘crew’ akan turut serta iaitu Haji Sazali Mohd Noor, M. Shukri Mohamed, Khalid Abdullah dan Khairul Azlam Mohamad akan bertugas,
“membuat liputan dan dalam objektif untuk memaparkan realiti sebenar penderitaan pelarian Rohingya kepada dunia secara liputan terus dari bumi yang penuh derita,” jelasnya.
Menurut Ahli Jawatankuasa Kerja PAS itu, delegasi misi tersebut akan diketuai oleh Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man.
Beliau yang dihubungi berkata, beberapa pakej yang akan menjadi tumpuan pada misi kali ini ialah antaranya agihan makanan, telaga tiub, bangunan sekolah, penginapan sementara pelarian dan pembinaan musolla.
Katanya, pemergian anggota KAMI itu juga sebagai pasukan tinjauan, sebelum rombongan PAS Terengganu berangkat ke sana, dijadualkan pada bulan November 2017.
Menurut Dr Azman yang juga Ahli Jawatankuasa Badan Perhubungan, PAS Terengganu menggerakkan usaha murni itu melalui Lajnah Penggerak Demokrasi dan Mobilisasi (DEMI) dibawah Timbalan Pesuruhjaya 3, Haji Yahaya Ali .
“saya dimaklumkan kempen akan bermula esok, untuk mengutip sebanyak mana mungkin sumbangan bagi membantu Rohingya,” katanya.
Justeru itu beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada para penyumbang bagi perjalanan anggota KAMI dan merayu orang ramai terus mengulurkan derma kepada ‘kaum yang paling tertindas’ itu.


“sekiranya tidak sempat menyumbang kepada KAMI orang ramai boleh terus menderma melalui Kempen Derma Khas yang dilancarkan oleh PAS negeri,” ujar beliau.
Tambah beliau, sntuk sumbangan melalui KAMI boleh hubungi Haji Sazali di talian 013-9869 187 dan untuk terus menyumbang kepada Tabung Rohingya PAS Terengganu, boleh menelefon Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah di talian 019-989 4125































