Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Ustaz Abu Bakar Chik berkata, setakat ini, tiada sebarang masalah yang berlaku dan masing-masing berpuas hati dengan perkembangan hubungan baik yang terjalin antara PAS dan PR.
“Saya mahu mengingatkan bahawa musuh akan sentiasa mencari peluang untuk melemahkan PAS. Jadi, semua ahli PAS perlu memberikan siqah (kepercayaan) dan wala’ (ketaatan) supaya tidak dipermainkan musuh dengan sewenang-wenangnya.
“Buat masa ini, pemimpin PAS selesa bekerjasama dalam sebuah pasukan bersama PR. Tiada sebarang masalah yang melanda antara satu sama lain,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan wujudnya kerjasama antara parti itu bersama UMNO menjelaskan, beliau menghormati pendapat parti malah hal itu tidak timbul buat masa ini.
“Pendapat saya dan parti perlu berjalan seiring. Saya perlu menghormati pendapat parti. Cuma, secara asasnya saya boleh katakan bahawa hubungan kami selaku parti komponen dalam PR masih kukuh.
“Sebagai sebuah gerakan Islam, PAS akan menjalankan gerak kerja berdasarkan kepada keputusan syura atau polisi parti,” katanya.
Beliau berkata, pemimpin PAS sentiasa menerima asas-asas yang digariskan dalam perjuangan bersama PR dan akan meneruskan segala gerak kerja yang telah dirangka parti itu.
“Kita akan jalankan gerak kerja dakwah di mana-mana sahaja sama ada di dalam dan luar negara dan tidak mengira latar belakang individu,” katanya.




























