Selepas Lima Tahun, Mana Rumah Kami? Sekarang Janji Lot Tanah Atas Sungai Pula

5206

Hakikat yang berlaku di Felda Bukit Bading. Janji demi janji terus ditabur agar anak muda Felda ini terus berharap kepada janji UMNO. Jika PRU13, Yang Amat Berhormat Menteri Besar sendiri hadir buat majlis pecah tanah untuk membuktikan kesungguhan kerajaan menyediakan rumah kepada generasi Felda Bukit Bading pun projek ini gagal dilaksanakan sekadar pecah tanah sahaja inikan pula hanya Ahli Parlimen hadir menabur janji pemberian lot tapak rumah sebelum piliharaya kali ke-14 nanti.

Budaya menabur janji ini seakan sudah sebati dengan UMNO, memberi harapan demi harapan adalah perkara biasa, kali ini anak muda Felda ini perlu sedar dan buka mata dengan permainan licik UMNO Terengganu dalam mengekalkan kuasa. Projek ini sangat baik dan memang menjadi tugas kerajaan tetapi bila tidak ditepati atau dilaksanakan ianya satu tamparan dan seolah mempermainakan kepercayaan anak muda generasi Felda untuk dapatkan rumah sendiri.

Mungkin perkataan anak muda sudah tidak sesuai lagi kerana ada di kalangan mereka sudah berumur melepasi 45 tahun, tetapi masih berharap untuk mempunyai rumah sendiri. Janji kali ini semakin sukar dilaksanakan kerana sebahagian tanah ini berpaya serta mempunyai anak sungai yang aktif merengtasi kawasan cadangan tapak perumahan.

Lawatan ke lapangan yang kami lakukan mengesahkan dakwaan ini. Amat malang pemilihan lokasi dibuat acuh tidak acuh. Walaupun tidak mustahil paya ini berjaya ditebus guna, ianya memerlukan belanja yang besar bagi mengekalkan aliran anak sungai yang berada di tengah-tengah kawasan dicadangkan. Untuk mengalih anak sungai ini agak mustahil. Kos berganda juga perlu diperuntukan untuk menimbus paya sehingga tahap melepasi tahap banjir apabila tiba musim tengkujuh di kawasan ini.

Faktor ini perlu dilihat secara serius oleh kerajaan. Apakah tidak kawasan lain? Pihak kerajaan boleh mengambil tanah ladang milik peneroka untuk tujuan ini, hanya kos pengambilan tanah pada harga pasaran yang melibatkan hanya beberapa peneroka sahaja. Jika 40 ekar diperlukan, hanya empat lot peneroka sahaja terlibat. Boleh dikenal pasti kawasan yang tidak berpaya. Kes ini pernah berlaku di Felda berdekatan iaitu Felda Jerangau.

Pihak Kerajaan mengambil tanah peneroka untuk tujuan perumahan Kakitangan kilang Felda Jerangau dan dipilih lokasi strategik di laluan masuk ke Tanah Rancangan. Alasan ketiada tanah sesuai tidak berbangkit jika kerajaan memilih cara ini untuk tujuan lot perumahan Felda Bukit Bading ini. Kos pengambilan tanah peneroka mungkin lebih murah berbanding kos menimbus tanah berpaya seperti F tapak lot rumah Felda Bukit Bading.

Kami berharap kerajaan serius menyelesaikan isu ini, sudah terbukti Kerajaan umno Terengganu telah gagal melaksanakan janji mereka sebelum ini. Buktinya dari tahun 2012 majlis pecah tanah oleh Menteri Besar gagal dilaksanakan setelah hampir enam tahun.

Apabila kali ini dijanjikan pula tapak rumah sekali lagi dengan jumlah yang lebih banyak, dengan bukti pemilihan kawasan yang berpaya dan mempunyai anak sungai, kami bimbang ianya dijadikan alasan sekali kos tinggi pula untuk tidak melaksanakan projek ini. Jangan sampai anak generasi Felda berdemo di hadapan Wisma Darul Iman “MANA RUMAH KAMI”.

Sekian.
Naraza Muda
Timbalan Pengarah Hal Ehwal Felda PAS Pusat / Pegawai Khas Seranta Felda PAS Terengganu.
25 Jan 2018 / 8 Jamadil Awal 1439H