Setelah lebih 3 bulan atau 100 hari tempoh pemerintahan baharu, kerajaan Barisan Nasional (BN) Malaysia kerana masih gagal melantik Menteri Pengangkutan. Ia membuktikan kerajaan tidak efisyen dan cekap dalam menyelesaikan permasalahan negara khususnya yang melibatkan isu-isu pengangkutan.
Kegagalan kerajaan BN menunjukkan sikap tidak peduli dan tidak memandang berat soal dasar dan polisi yang berhubung rapat dengan isu pengangkutan di negara ini.
Lebih dari itu, Menteri tersebut adalah Menteri Pertahanan yang sememangnya kementerian yang sibuk menguruskan dasar pertahanan negara.
Soalnya, apakah tidak ada pemimpin kerajaan yang lebih layak menjadi Menteri Pengangkutan sehingga terpaksa Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein terpaksa memangku jawatan tersebut?
Permasalahan ini telah mengheret negara dengan pelbagai masalah yang semakin membimbangkan, khususnya yang berkaitan dengan pengangkutan. Dalam beberapa isu kebelakangan ini melibatkan kemalangan maut seperti yang berlaku dalam tragedi sebuah bas jatuh gaung di Jalan Genting Highland sehingga menyebabkan 37 orang mati manakala dua hari yang lalu seorang ibu dan 3 orang anaknya juga maut di dalam kemalangan jalan raya di Kajang.
Selain itu, negara juga dihimpit dengan isu kenaikan harga tambang bas yang berpunca daripada kenaikan harga minyak petrol dan diesel.
Kesemua isu ini perlukan penjelasan dan tindakan agesif dari kerajaan khususnya dari menteri yang bertanggungjawab. Kerajaan tidak boleh berlepas tangan dengan hanya menyerahkan kepada menteri pemangku untuk bertindak dan dalam masa yang sama beliau juga mempunyai tugasan penting iaitu sebagai Menteri Pertahanan. Bagaimana seorang menteri mempunyai dua portfolio besar untuk diuruskan.
Pemuda PAS mendesak agar kerajaan segera menamakan seorang Menteri Pengangkutan supaya dasar serta isu yang berkaitan dengannya dapat dijawab dengan baik. Rakyat juga mahu melihat apakah pelan kementerian tersebut dalam menangani isu kemalangan maut yang semakin membimbangkan di samping mengawal harga tambang bas dan pengangkutan awam lain daripada naik mendadak.
*** Artikel diatas dalah kenyataan media DR RAJA AHMAD AL HISS Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia