Gerakan Selamatkan Tabung Haji (“Selamatkan Tabung Haji”) membantah sekeras-kerasnya penggunaan dana Tabung Haji untuk menyelamatkan syarikat 1MDB, sebuah lagi syarikat milik kerajaan yang diselubungi pelbagai skandal. Syarikat “dana daulat” yang berhutang sebanyak RM42 bilion ini dilaporkan terlibat di dalam pelbagai transaksi kewangan yang meragukan (questionable financial transactions) menyebabkan ia kekeringan mudah tunai dan gagal melunaskan hutang pada masanya. Baru-baru ini dilaporkan bahawa pembayaran balik hutangnya dengan beberapa buah bank telah tertangguh beberapa kali dan untuk mengelakkan hutang berkenaan dari diklasifikasikan ke dalam kategori “hutang tidak berprestasi” (non-performing loans), syarikat 1MBD dikatakan telah meminjam wang dari seorang ahli korporat ternama untuk melunaskan hutang yang tertangguh pembayarannya itu. Juga dilaporkan, Kementerian Kewangan telah membuka kemudahan surat kredit (Standby letter of credit) dengan had kemudahan sebanyak RM950 juta bertujuan melegakan kesempitan mudah tunai yang sedang dihadapi oleh syarikat berkenaan.
3. Gerakan Menyelamatkan Tabung Haji percaya bahawa “keadaan terdesak” yang dihadapi oleh oleh syarikat 1MDB seperti yang disebut di atas “memaksa” syarikat “dana daaulat” ini menjual tanah miliknya di TRX bagi menjana tunai dengan secepat mungkin untuk melunaskan hutang atau bunga ke atas hutang yang sudah sampai tempohnya untuk dibayar. Tindakan menjual tanah seluas satu setengah ekar di TRX kepada Tabung Haji pada “harga yang luarbiasa tingginya” adalah satu tindakan terdesak (desparate move) untuk menjana tunai dengan secepat mungkin bagi menyelamatkan syarikat 1MDB dari dikenakan tindakan undang-undang oleh pihak bank. Untuk tanah seluas satu se tengah ekar, Tabung Haji membayar RM188.5 juta tunai, tidak seperti amalan biasa di mana pembeli biasanya membayar 10-20% wang pendahuluan dan selebihnya setelah segala urusan perundangan dan lain-lain urusan berkaitan dengan transaksi berkenaan dimuktamadkan. Dalam amalan biasa, pihak pembeli seperti Tabung Haji ini perlu membuat penelitian wajar (due diligence) ke atas hartanah yang bakal dibeli, melantik juru ukur dan juru nilai bertauliah untuk mengesahkan nilai hartanah dan hartanah yang hendak dibeli bebas dari sebarang ikatan (encumberances) dan seterusnya menguruskan segala aspek perundangan berkaitan transaksi berkenaan. Amatlah menghairan, proses yang lazimnya memakan masa agak panjang dapat dibereskan dalam masa yang agak pendek. Kelajuan yang luar biasa di dalam memuktamadkan transaksi ini dan pembayaran tunai penoh dan segera kepada penjual mengundang persepsi bahawa urusniaga hartanah di antara 1MDB dan Tabung Haji ini tidak lain adalah helah dan muslihat untuk menggunakan dana Tabung Haji untuk menyelamatkan sebuah syarikat yang diselubungi pelbagai skandal, 1MDB. Kita tahu 1MDB banyak berhutang dan kebarangkaliannya tinggi bahawa hartanah di TRX itu sudah dicagarkan kepada bank.
5. Dilaporkan Perdana Menteri mendakwa bahawa pembelian hartanah oleh Tabung Haji dari 1MDB ini bakal menjana keuntungan lumayan kepada Tabung Haji, kononnya sehingga ratusan juta. Dakwaan ini boleh dipertikaikan. Pertama, kalau memang niat Perdana Menteri untuk memberi keuntungan lumayan kepada Tabung Haji supaya akhirnya penabung-peanbung- penabung akan mendapat manfaat dalam bentuk bayaran dividen yang tinggi, kenapa tidak dijual tanah TRX itu kepada Tabung Haji awal-awal lagi pada harga “tanah kerajaan” seperti yang dibayar oleh 1MDB bila ia membeli tanah itu? Kalau sesungguhnya Perdana Menteri Berjiwa Islam dan Melayu, itulah yang sepatutnya dilakukan kerana penabung-penabung di Tabung Haji 100% orang Islam dan Melayu. Kedua, sekiranya niat Perdana Menteri ialah untuk memberi keuntungan lumayan kepada Tabung Haji, kenapakah hartanah berkenaan dijual kepada Tabung Haji pada harga yang luar biasa mahalnya, lebih mahal dari hartanah di Bukit Bintang dan kita difahamkan bahawa hartanah yang bernama TRX itu seolah-olahnya adalah sekeping hartanah di Kota London dan New York. Malah ada pihak yang mendakwa hartanah yang dibeli oleh Tabung Haji itu adalah sekeping hartanah yang harganya paling mahal di dunia. Oleh yang demikian, kami melihat bahawa tidakan menjual satu setengah ekar tanah di TRX oleh 1MDB kepada badan kaya tunai Tabung Haji dengan harga tunai dibayar segera dan sepenuhnya tidak lain melainkan adalah satu tindakan untuk menyelamatkan 1MDB yang diselubungi pelbagai skandal dan yang sedang menghadapi kesempitan mudah tunai akibat dari terlibat, seperti yang dilaporkan pelbagai pihak, dalam pelbagai transaksi kewangan yang meragukan yang menyebabkan sebahagian dana tunainya “lesap tidak dapat dikesan.”
YB DATO’ HJ MAHFUZ OMAR
Pengerusi Gerakan Selamatkan Tabung Haji
Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur
Isnin, 11 Mei 2015