Selamatkan Melayu Islam

865

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) melahirkan rasa sedih dan bimbang dengan nasib umat Islam di Malaysia yang terlibat dengan jenayah rogol sepertimana yang telah didedahkan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri di Dewan Rakyat semalam.

Daripada statistik yang dikemukakan, sepanjang tahun 2012, seramai 1,243 (80%) kes rogol telah dilaporkan yang melibatkan remaja Melayu berusia 16 tahun ke bawah. Ini bermakna, secara purata sebanyak 103 kes rogol sebulan. Pada tahun 2013 pula seramai 1,147 kes dilaporkan.

Pokok masalah adalah berpunca daripada pembinaan individu dan rumah tangga yang tidak menitikberatkan pendidikan Islam. Selain itu, jika tekanan ekonomi isi rumah pula menjadi punca kerapuhan institusi keluarga, maka ia juga perlu diberikan perhatian yang serius.

Lihat, apabila asas utama ini longgar, maka ia akan memberikan impak kepada sikap anak-anak.Contohnya, di Selangor sahaja, pihak JAIS mendedahkan sebanyak 1,743 kes khalwat dilaporkan pada tahun 2011. Kebanyakan pasangan yang ditangkap berusia 20 hingga 30 tahun. Begitu juga dengan statistik yang pernah dikemukakan oleh Jabatan Pendaftaran Negara. Dalam tempoh 2005 hingga 2009, sebanyak 74,723 kes anak luar nikah kaum Melayu telah direkodkan di seluruh Malaysia.

Inilah masanya semua pihak perlu bersikap lebih serius untuk sama-sama menggembleng usaha dipelbagai peringkat dalam membantu menyelamatkan umat Islam di negara ini. DPPWP bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak untuk merealisasikan usaha ini. 

MOHD FARKHAN MD ZAIN
NAIB KETUADEWAN PEMUDA PAS WP