Selamatkan Malaysia Dengan Islam!

1094

KUALA TERENGGANU – Malaysia perlu diselamatkan daripada pelbagai kerosakan ekonomi, politik dan sosial dengan Islam.

Ahli Parlimen Kuala Nerus Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, Pakatan Harapan bukanlah wadah untuk menyelesaikan masalah negara dengan Islam.

“Sebarang perbincangan kerjasama pilihanraya yang kononnya untuk menjatuhkan BN hakikatnya hanya untuk menyelamatkan kerusi parti tertentu dengan menjadikan jentera pilihanraya PAS sekali lagi kuda tunggangan sepertimana yang berlaku dalam Pakatan Rakyat,

“Apabila mereka berjaya memenangi kerusi sekali lagi agenda Islam akan ditendang dan diperangi. PAS akan diserang lagi dengan pelbagai tuduhan dan tohmahan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkannya hari ini.

Menurutnya, PAS terus komited mencanangkan kepada rakyat penyelesaian Islam menerusi Budaya Politik Matang Sejahtera dan dokumen Wawasan Induk Negara Sejahtera.

“Ucapan dasar Presiden PAS dalam muktamar lalu bertajuk Sejahtera Bersama Islam wajib dihayati oleh ahli dan pimpinan PAS di semua peringkat bagi menghadapi PRU ke 14,” tegas Dr. Khairuddin