KEMAMAN – Pesuruhjaya PAS Terengganu Ustaz Satiful Bahri Mamat merakamkan ucapan tahniah kepada Dewan Ulamak PAS Negeri Terengganu (DUPNT) yang berjaya menubuh dan menguruskan lapan buah sekolah rendah Islam di negeri ini.
“syabas dan tahniah diucapkan kepada Dewan Ulamak kerana berjaya menubuhkan dan menguruskan lapan Dar (Sekolah Rendah Islam) di peringkat negeri,
“walaupun dengan serba kekurangan dan kelemahan, tapi mampu bersaing dengan sekolah-sekolah rendah di bawah Kementerian Pelajaran,”ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Kecemerlangan Akademik Ujia Penilaian Sekolah-sekolah Rendah Islam (UPSRI) di sebuah Resort, di Cherating dekat sini, pada Rabu 25 November.
Hadir sama dalam Majlis itu ialah Ketua Dewan Ulamak Terengganu Dato’ Husin Awang, Setiausahanya Ustaz Abdullah Suhaimi, ADUN Chukai YB Hj Hanafiah Mat, Yang DiPertua PAS Kemaman Ustaz Alias Hamid.
Turut Hadir ialah anggota Dewan Ulamak Ustaz Nik Muhammad Nasri Nik Malek dan Pengerusi Darut-Taqwa Kemaman, Ustaz Zahari Draman, selaku pengarah Majlis tersebut.
Ustaz Satiful yang juga ADUN Paka berkata, pendidikan sekolah-sekolah Islam di bawah PAS yang menggabungkan akademik dan ilmu Islam menjamin kejaayan manusia dunia akhirat.
“Kerosakan akhlak manusia termasuk pemimpin disebabkan hilangnya nilai Islam, kita memastikan ilmu-ilmu Islam menjadi teras dalam pendidikan kita selain kemestian akademik.
“saya menggesa agar semua pihak khususnya ibu bapa menggembleng tenaga dan sumbangan dari pelbagai sudut bagi meningkatkan kejayaan sekolah kita dalam pelbagai bidang,”tambahnya.
Menurutnya, bagi memenuhi permintaan terhadap sekolah-sekolah rendah Islam yang semakin meningkat, dua buah sekolah lagi akan dibina iaitu Madrasah Darul Falah di DUN Tepoh, kawasan Kuala Nerus dan Sekolah Rendah Islam al-Islah di kawasan Besut.
Ia akan menambahkan jumlah lapan buah Dar yang ada sekarang iaitu Madrasah Darul Taqwa Batu Enam, Sekolah Rendah Islam Darul Taqwa Kemaman, Madrasah Darul Ihsan Kubang Lembek, Madrasah Darussalam Losong, Sekolah Rendah Islam Darul Bayan Paka, Sekolah Rendah Agama Bersepadu Zainal Abidin Dungun, Madrasah Darul Iman Titian Baru, Madrasah Darul Ansor Basung.
Beliau turut merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada pelajar yang mendapat keputusan cemerlang 12 A dlam UPSRI.









