Sejarah Fikrah Vaksinasi

560

Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) yang menganjurkan program Jom Vaksin. Saya mewakili YB Dr Nik Zawawi Salleh, Ketua Dewan Ulama PAS Pusat telah diberi ruang untuk berucap dalam program pelancaran yang telah diadakan pada 29 Mei 2021. Program seumpama ini mesti digerakkan oleh semua pihak samada agensi Kerajaan, swasta, syarikat-syarikat, NGO dan seluruh lapisan masyarakat.

2. Islam adalah agama yang membawa ajaran serta cara hidup sempurna meliputi seluruh aspek kehidupan manusia baik daripada sekecil-kecil perkara hingga sebesar-besar perkara termasuklah vaksinasi. Vaksinasi dalam bahasa Arab disebut tat’im atau talqiih. Saya cuba mengajar seluruh umat Islam merasa kagum dan bangga dengan sejarah ketamadunan Islam. Sikap ini akan mengubah mentaliti segelintir yang sentiasa melihat sesuatu pembaharuan dalam perkembangan ilmu dan teknologi merupakan agenda yahudi atau Barat. Kesedaran tentang sejarah kegemilangan ilmu dan ketamadunan Islam adalah pencetus minda ummah untuk mengambil peluang untuk memperteguhkan kesuburan ilmu Islam dalam pelbagai bidang.

3. Idea atau fikrah vaksinasi tidak pelik dan bukan sesuatu ilmu khurafat dalam sejarah Islam. Pemerolehan kekuatan imuniti oleh tubuh akibat jangkitan sebelumnya, kenyataan daripada Abu al-Tayyib al-Mutanabi (wafat 354 Hijrah / 965 M) yang hampir meramalkan prinsip di mana vaksinasi perubatan moden didasarkan.
لعلّ عَتبَك محمودٌ عواقبُه * فرُبّما صحّت الأجسادُ بالعِلَل!!
“Mudah-mudahan celaan ke atas kamu mendatangkan natijah yang terpuji * Berkemungkinan sihatnya jasad dengan asbab penyakit yang dihidapi”

4. Ungkapan ini bukan menjadi dalil hukum atau prinsip syarei ( التاصيل الشرعي) tentang pengharusan vaksinasi tetapi gambaran tentang idea vaksinasi bukan sesuatu yang baru dalam sejarah Empayar Islam. Masyarakat Islam dahulu telah berbicara tentang idea vaksinasi yang menjadi konsep vaksinasi dalam perubatan moden sekarang.

5. Ibnu Sina telah menyebut dalam kitabnya ‘Qanun fi at-tibb’ bahawa penggunaan imuniti tubuh badan dengan sesuatu penyakit atau kesakitan. Beliau memberikan contoh kemampuan tubuh untuk memperoleh kekebalan dari toksin sekiranya digunakan secara beransur-ansur.

“Beberapa wanita tua pada awalnya mengambil sedikit akonit (bahan toksik), dan kemudian tidak terus menemani sehingga alam semula jadi mendapatkannya (sifat tubuhnya) dan berani padanya, dan tidak ada yang menyakitinya! ”

6. Jika Barat baru mengenali vaksinasi pada kurun ke 18, umat Islam lebih awal mengenali vaksinasi dalam bentuk idealisme dan pengamalan, khususnya di zaman khilafah Islam Uthamaniyyah.

7. Saya mewakili Dewan Ulamak PAS Pusat, menyeru semua pihak berganding bahu dan berusaha menyedarkan masyarakat mendaftar dan menerima suntikan Vaksin. Semoga negara kita berjaya mencapai sasaran 80% atau 26.5 juta penduduk mengambil vaksin dan berjaya mencapai sasaran Herd Immunity/imuniti kelompok. Akhirnya, insyaAllah kita semua akan menang dan dapat mengawal penularan #COVID19.

JOM VAKSIN !!!

Ulamak Perteguh Muafakat
Islam Memperkukuh Perpaduan

YB USTAZ MOHD NOR HAMZAH
Ketua Penerangan,
Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP)