Oleh : KAM
KUALA TERENGGANU – Sekolah-sekolah rendah dan menengah di bawah kelolaan PAS mengambil semua jenis para pelajar sama ada mereka yang cerdik atau pun sebaliknya kerana mahu menyelamat semua manusia.
Pengerusi Lajnah Persekolahan PAS Negeri Terengganu Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, sekolah-sekolah PAS adalah institusi Ummah yang mahu mendidik seluruh masyarakat.


“Sekolah kita ini kita tidak boleh buat sebagaimana sekolah kerajaan. Orang hak cerdik boleh, yang tidak berapa cerdik tak terima.
“Sebab kita sekolah di bawah Jamaatul Ummah, kita hendak ambil dan hendak menyelamat semua manusia. Bukan pelajar yang cerdik sahaja tetapi pelajar-pelajar yang kurang cerdik sekali pun kita mahu menyelamatkan mereka dengan agama (Islam) Allah SWT,” jelasnya.
Ketua Penerangan PAS Terengganu itu berkata demikian ketika berucap pada Majlis Haflatul Ilmi 2015 Madrasah Darul Taqwa, di Kompleks Tarbiyyah PAS (Komtaq) Kawasan Kuala Nerus, Pekan Batu Enam, Kuala Nerus, pada Khamis 19 November.
Menurutnya, PAS Terengganu amat menitik berat soal pendidikan anak-anak bermula dari pra-sekolah hingga kepada peringkat menengah dan kolej.
ADUN Bukit Payong itu turut mengumumkan Madrasah Darul Falah bakal diwujudkan selain sekolah yang sedia ada iaitu Madrasah Darul Taqwa.


“Ucap tahniah kepada PAS Kawasan Kuala Nerus kerana akan wujud sebuah lagi sekolah baharu iaitu Madrasah Darul Falah. Ini merupakan suatu perkara yang baik, yang bagus.
“Persaingan yang menambahkan ruang kepada kita meningkatkan sesuatu yang molek dalam bidang pendidikan, untuk meningkatkan medan dakwah, Insya’Allah.
“Kita (PAS) letak target (sasar) kita peringkat awal ini satu kawasan mesti kena ada ada satu madrasah (sekolah menengah) dar. Setakat ini kita usaha Setiu dengan Besut pula.
“Dan jika satu kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) itu ada madrasah lagi bagus,” ujarnya.
Hadir sama pada majlis tersebut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teluk Pasu, Ustaz Ridzuan Hashim, Mudir Darul Taqwa, Ustaz Hazha Rajab dan mantan mudirnya, Ustaz Mohamad Yaakob.



























