Seberang Takir; Tanah Rakyat Akan Diambil, Alam Sekitar Akan Tercemar?

1302

Saya membaca laporan akhbar yang melaporkan bahawa kerajaan Terengganu melalui anak syarikatnya Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) akan mengadakan kajian bagi cadangan menjadikan Pulau Duyung dan Seberang Takir sebagai kawasan industri berasaskan petroleum. Kenyataan itu dikeluarkan oleh YAB Dato’ Seri Ahmad Razif Abdul Rahman, Menteri Besar Terengganu kepada pemberita semalam. Perancangan lanjut masih belum diperjelaskan kerana EPIC akan membuat kajian dahulu sebelum memberikan cadangan kepada kerajaan.

Suka saya memberikan beberapa pendapat awal saya dalam isu ini. Jika MB benar-benar mahu melaksanakan rancangan ini, pertama sekali yang mesti rakyat lihat ialah isu pengambilan tanah. Apabila dinyatakan Pulau Duyong dan Seberang Takir, maka kebanyakan rakyat Terengganu tahu ianya bukanlah satu mukim yang besar. Saiznya kecil sahaja. Duyong sememangnya kita tahu ia sebuah pulau yang kecil. Dan Seberang Takir, dari Bukit Tumbuh sehingga lapangan terbang. Atau kalau disebut DUN Seberang Takir, ianya juga bermula dari Bukit Tumbuh memanjang sehingga ke kem PGA di hadapan Unisza. Hampir keseluruhan kawasannya berada di tepi pantai. Dimaklumi juga yang kawasan Seberang Takir ini, agak padat taburan penduduknya. Jadi soalannya, kawasan tanah luas yang manakah mahu MB jadikan sebagai kawasan industri ini? Mahu tidak mahu, tanah rakyat melayu juga yang akan diambil dan menjadi mangsa rancangan ini. Berapa agaknya kerajaan mahu bayar kepada rakyat untuk tanah-tanah ini? Umum juga mengetahui bahawa tanah di sekitar Seberang Takir adalah mahal.

Isu kedua, jika sudah Seberang Takir mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi, maka apa akan jadi kepada rakyat yang tinggal berdekatan dengan kawasan industri ini? Kecuali kerajaan mahu menjadikan kampung Seberang Takir seperti di Gebeng Kuantan (walaupun bukan bauksit yang dicadang diproses di sini), maka sangat tidak masuk akal bagi mana-mana kerajaan yang waras untuk mewujudkan kawasan industri di tempat yang mempunyai ramai penduduk. Kita sedia maklum yang kilang-kilang tersebut tidak semesti semuanya kilang memproses minyak atau gas. Ianya mungkin hanya kilang-kilang pengeluaran hasilan produk petroleum. Tetapi risiko pencemarannya tetap tinggi.

Ketiganya, jika kerajaan mahu menjadikan persisir pantai sebagai kawasan industri ini, saya mempunyai keraguan yang sangat tinggi kerana isu berkaitan dengan hakisan di sepanjang pantai Seberang Takir dan Tok Jembal masih tidak diselesaikan. Juga ada laporan mengatakan bahawa pantai tersebut mungkin akan tenggelam jika tidak dilindungi dengan betul, maka mana mungkin kerajaan mahu menjadikan ianya sebgai kawasan industri? Kecuali kerajaan mahu melihat kilang-kilang ini ditelan ombak, maka saya tidak mempercayai ianya akan diluluskan. Dan jikapun kerajaan sanggup mengeluarkan belanja bagi membina benteng pemecah ombak bagi tujuan ini, saya yakin, rakyat Seberang Takir dan Tok Jembal akan berkecil hati kerana apabila rakyat diancam hakisan, tiada tindakan segera diambil. Tetapi apabila mahu membina kilang bagi tauke-tauke besar berniaga, kerajaan boleh pula membinanya. Ajaib bukan? Cukuplah dengan tiga persoalan besar ini dahulu untuk dijawab jika benar kerajaan mahu meneruskan rancangan ini.

Saya pernah mendapat maklumat berkenaan asas perancangan daerah-daerah di Terengganu sekitar lebih kurang 10 tahun dulu. Dikatakan daerah Kuala Terengganu mahu dijadikan daerah pentadbiran, perniagaan dan pelajaran. Kemaman pula sebagai daerah perniagaan dan industri. Sementara Setiu, Marang dan Hulu Terengganu masing-masing sebagai daerah pertanian dan pelancongan. Dungun pula sebagai daerah pelajaran dan industri. Begitulah secara ringkas aturan perancangan bagi daerah-daerah. Jadi kenapakah pula Seberang Takir ini mahu ditempatkan kawasan industri yang kelihatannya secara tiba-tiba? Apa gunanya kawasan industri di Kemaman dan Dungun? Adakah kerana Seberang Takir terletak dalam kawasan MB, maka MB terus membuat rancangan bagi mewujudkan kawasan industri ini? Jika ini betul, maka amat tepatlah telahan saya dahulu bahawa MB sekarang ini mencuba dengan bersungguh-sungguh untuk meninggalkan monumen di kawasan beliau. Sungguh MB tersangat terdesak ingin mencipta nama untuk menonjolkan identitinya sebagai MB Terengganu bagi menunjukkan kepada rakyat Seberang Takir bahawa dia melakukan sesuatu di kawasannya selepas idea membina persimpangan bertingkat. Adakah ini petunjuk yang beliau mungkin tidak lagi menjadi MB selepas ini kerana naiknya beliau kerana Najib yang kelihatan sedang goyah ketika ini? Hanya Allah yang tahu.

Baiklah, mungkin perancangan itu telah berubah dan beberapa lama dahulu. Maka disiarkan berita berkenaan rancangan kerajaan untuk mengadakan kawasan industri berasaskan petroleum di Pulau Kerengga, Marang. Sudah lama ianya dikatakan telah dirancang iaitu sebelum Razif menjadi MB lagi. Kawasan ini dilihat sesuai bagi industri kerana jauh daripada kawasan penduduk dan mempunyai kawasan tanah kosong yang luas. Jadi jika keduanya adalah perkara yang sama, adakah kerana ianya dirancang di Marang maka MB hendak menukarkan tempatnya? Jika ini benar, maka prinsip TTB yang digagaskan oleh MB suatu ketika dahulu, perlu ditambah kepada beberapa prinsip lagi dan antara yang sesuai ialah “dendam politik”. Hal ini perlu disedari oleh rakyat Terengganu bahawa, TTB hanyalah retorik ataupun kosmetik dalam pentadbiran Razif jika ini berlaku. Dan jika kedua perancangan ini berbeza, mengapakah tidak dibuat berdekatan sedangkan kedua-dua industri ini berasaskan petroleum?

Saya memohon kepada MB agar mengurangkan rancangan-rancangan yang tidak sesuai ini daripada dikemukakan kepada rakyat. Kerana ketika ini, rakyat lebih berminat untuk mengetahui jawapan kepada persoalan-persoalan yang telah dikemukakan dalam sidang DUN lalu seperti kaitan TIA dengan 1MDB yang telah diulangi kembali oleh DS Ahmad Said secara bersumpah dalam Mesyuarat Agung Umno Kemaman, kerugian Riyaz, cerita muara Sungai Terengganu yang semakin sempit, isu Monsoon Cup yang telah menelan jutaan ringgit duit rakyat Terengganu, cerita di bilik Permai Inn, perlombongan haram bauksit sudah memasuki Kemaman, penyaluran peruntukan kepada wakil rakyat yang sah dan sebagainya. Rakyat di beberapa tempat yang khusus seperti Kampung Laut dan Atas Tol juga mahu tahu berkenaan rancangan pengambilan tanah-tanah mereka yang dikhabarkan akan diambil dengan harga yang murah secara terpaksa. Cukuplah dengan isu tanah di Banggol Donas sebagai pengajaran. Tidak perlu disedihkan pula penduduk di sekitar Seberang Takir dengan kisah pengambilan tanah ini pula. Tak tahulah saya jika berita ini disensasikan hanya untuk menaikkan harga tanah di Seberang Takir sahaja.

YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu
29 Syawwal 1436 bersamaan 14 Ogos 2015