Santai Berestetika ‘Aesthetic’ Tarik Minat Gen Z

14

KUALA NERUS – Program berkonsepkan aesthetic dan santai dilihat mampu menjadi pendekatan baharu yang efektif dalam mendekati generasi muda dan membuka ruang kepada mereka membincangkan isu kehidupan, kesihatan emosi dan pembangunan diri secara lebih terbuka.

ang Dipertua PAS Kawasan Kuala Nerus, Dato’ Dr. Alias Razak berkata, program seperti Sis Ngopi membuktikan anak muda bukan sekadar mencari hiburan, sebaliknya memerlukan ruang yang selesa untuk berbincang, berkongsi pandangan dan membina keyakinan diri.

“Pendekatan santai dan interaktif mampu menjadi medium untuk membimbing, memperkasa dan melahirkan generasi muda yang berilmu, berfikiran positif serta bersedia menghadapi cabaran masa depan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Sis Ngopi anjuran Ameerah Kawasan Kuala Nerus di Pantai Teluk Ketapang yang menghimpunkan 57 beliawanis berusia antara 18 hingga 25 tahun, pada semalam.

Sementara itu, Pengarah program, Nabilah Zakaria berkata, konsep menikmati secawan kopi sambil bersembang dipilih bagi mewujudkan suasana yang lebih mesra agar peserta berasa selesa untuk berkongsi pandangan dan membina ukhuwah.

“Pendekatan ini dipilih kerana kami mahu menyediakan platform yang dekat dengan jiwa anak muda.

“Dalam suasana yang santai, peserta lebih terbuka untuk berinteraksi, bertukar idea dan mengikuti perkongsian yang disampaikan, sekali gus menjadikan program ini lebih bermakna serta memberi impak kepada mereka,” katanya.

Selain itu, seorang peserta, Nazurah, berkata program tersebut memberikan pengalaman bermakna kerana bukan sahaja membuka perspektif baharu mengenai cabaran Gen Z, malah memberi peluang berkenalan dengan rakan baharu melalui aktiviti yang kreatif.

Justeru itu, beliau berharap lebih banyak program seumpama itu dapat dianjurkan kerana pendekatan santai dengan pengisian yang relevan lebih mudah menarik minat golongan muda untuk hadir dan terlibat secara aktif.

Antara pengisian utama ialah sesi sembang santai bersama Tengku Nura, penyampai radio Manis FM, bertajuk “Realiti Hidup Gen Z: Antara Impian dan Tekanan Dunia Sebenar” yang menyentuh isu tekanan emosi, harapan masa depan serta keseimbangan kehidupan generasi muda.

Program itu turut dimeriahkan dengan aktiviti Doodle DIY, ngopi percuma, cabutan bertuah dan pemberian goodies bagi mewujudkan suasana yang lebih santai serta menggalakkan interaksi dalam kalangan peserta