SETIU – PAS meletakkan sasaran untuk membentuk kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) dengan menjadikan penyatuan kuasa politik Melayu Islam sebagai agenda utama perjuangannya.
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, YB Dato’ Haji Ustaz Ahmad Yahaya, parti itu kini sedang menyusun gerak kerja secara menyeluruh bagi memastikan sasaran untuk menerajui pentadbiran negara di Putrajaya dapat direalisasikan.
Beliau berkata, PAS bukan sahaja berazam mempertahankan semua kerusi yang dimenangi sebelum ini, malah berusaha menambah kemenangan di negeri-negeri lain melalui persiapan jentera yang lebih tersusun.
“Kita meletakkan sasaran secara terbuka bahawa selepas PRU-16, insya-Allah PAS berada di Putrajaya. Ini cita-cita dan hasrat yang kita nyatakan secara terbuka, justeru seluruh jentera perlu bersiap sedia dari sekarang,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Setiu Kali Ke-48, di Dewan Serbaguna Sungai Tarom, pada sabtu.
Menurut beliau, lapan kerusi Parlimen di Terengganu wajib dipertahankan, manakala negeri-negeri lain seperti Kedah, Kelantan, Perlis dan Pulau Pinang perlu menyumbang kemenangan yang lebih besar bagi memperkukuhkan kedudukan PAS di peringkat Persekutuan.
Dalam pada itu, Ustaz Ahmad Yahaya menegaskan penyatuan politik Melayu Islam merupakan faktor penting bagi memastikan kestabilan politik negara terus terpelihara.
Beliau berkata, perpecahan dalam kalangan parti-parti Melayu Islam hanya akan menyebabkan kuasa politik umat Islam semakin terhakis dan memberi kesan kepada masa depan negara.
“PAS akan terus menggerakkan usaha penyatuan kerana kestabilan negara bergantung kepada kekuatan politik Melayu Islam yang bersatu,” katanya.
Beliau turut menyeru seluruh ahli supaya memperkukuhkan gerak kerja parti melalui dakwah, tarbiah, pengorbanan, jihad dan persiapan menghadapi pilihan raya, di samping meletakkan sepenuh pergantungan kepada Allah SWT dalam setiap usaha perjuangan.




























