Ziarah Rumah ke Rumah Jadi Senjata Utama PAS Dekati Pengundi Sungai Balang

40

BESUT – PAS melihat pendekatan ziarah dari rumah ke rumah sebagai kaedah paling berkesan untuk mendekati pengundi sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, khususnya di DUN Sungai Balang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, YB Ustaz Mohd Shafizi Ismail berkata, kaedah itu lebih tepat berbanding penganjuran program atau ceramah kerana membolehkan jentera bertemu pengundi secara langsung serta memahami keperluan mereka.

Menurut beliau, sambutan yang diterima di kawasan diziarahi amat menggalakkan, terutama dalam kalangan guru dan penyokong PAS, walaupun saingan utama di Sungai Balang dilihat tertumpu antara PN dan BN, manakala Pakatan Harapan (PH) dilihat kurang memberi saingan.

“Program ceramah ibarat menabur peluru, tetapi ziarah adalah peluru yang tepat kerana kita bertemu terus dengan sasaran,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas program Pesta Durian DUN Kuala Besut, di Pengkalan Sentol, hari ini.

Beliau berkata, calon PN-PAS di Sungai Balang, Muhammad Amin Sailan, semakin aktif turun padang untuk memperkenalkan diri kepada masyarakat, selain dibimbing oleh pimpinan yang berpengalaman bagi memastikan kempen berjalan dengan baik.

Shafizi berkata, berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum lalu yang memihak kepada PN di kawasan Parlimen berkenaan, gabungan itu mempunyai peluang untuk merampas DUN Sungai Balang sekiranya seluruh jentera terus bekerja keras.

Justeru itu, beliau turut menyeru seluruh pengundi Johor, termasuk mereka yang berada di luar negeri, supaya pulang menunaikan tanggungjawab mengundi dan memilih pemimpin yang terbaik demi masa depan negeri.

Menurut rekod, DUN Sungai Balang (N16) mempunyai 31,039 pemilih berdaftar dan menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan Muhammad Amin Sailan (PN-PAS), Selamat Takim (BN-UMNO) dan Ayna Soraya Badaruddin (PH-PKR).

Pada PRN Johor 2022, kerusi itu dimenangi Selamat Takim dengan majoriti 2,293 undi.