Saman Sarawak Report – Muslimat Cawangan Hulur RM400

2757

Oleh : KHALID ABDULLAH

KEMAMAN – Muslimat PAS Cawangan Taman Wan Adnan/ Panalex, dengan keahlian seramai 25 orang sahaja, berjiwa besar apabila ‘memecah tabung’ membantu menghulur sumbangan untuk Dana Guaman Saman Sarawak Report.

Ketua Muslimat PAS Cawangan Taman Wan Adnan/ Panalex, Rohani Hassan berkata, ahli-ahli di bawahnya cukup terkesan dengan rayuan bantuan RM400,000 bagi menampung kos saman Sarawak Report di United Kingdom yang disiarkan media parti pada Khamis lalu.

“Walaupun kami hanya muslimat di peringkat cawangan, dengan keahlian yang tidak seberapa namun, apabila Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad berkata, minta tolong sangat-sangat maka fahamlah kami.

“Bersyukur mendapat persetujuan semua ahli jawatankuasa untuk urusan ini, katanya bayaran perlu dijelaskan dalam masa dua minggu,” soal Rohani.

“Tuan Guru Presiden PAS perlu menang saman ini, sekali gus membersihkan namanya yang sangat besar,” tambah Rohani sambil menunjuk slip transaksi sumbangan ketika ditemui di kediaman beliau di Kerteh, di sini, 6 Januari.

Pada April 2017, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang memfailkan saman terhadap editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown berhubung tulisan pada Ogos 2016 mendakwa pimpinan parti menerima dana RM90 juta yang masuk ke akaun mereka.