Salah Info, Salah Faham, Salahlah Sasaran

393

Berita yang saya sertakan ini, disiarkan beberapa hari lalu. Ia berkenaan jawapan dari pihak kerajaan selepas menyiasat dakwaan adanya aktiviti zumba di sekitar Taman Awam Bukit Besar. Sesudah menyiasat, didapati tiada aktiviti zumba seperti yang dikatakan, yang ada hanya senamrobik. Apa bezanya senamrobik dan zumba? Setahu saya, gerakan tarian yang agak agresif dalam zumba berbanding dengan senamrobik yang santai. Maka bagi wanita, kelas zumba perlu dilakukan di dalam ruang tertutup sesama mereka.

Senamrobik ini juga menurut YB Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah dibenarkan dengan syarat yang ketat oleh kerajaan. Dan kerana pematuhan itu, maka senamrobik itu telah berlangsung semenjak 28 tahun yang lalu. Tiada isu, walaupun bermula dari zaman BN, asalkan yang boleh diserapkan dan mematuhi kehendak yang kerajaan baharu inginkan, ia boleh diteruskan. Begitulah sikap Kerajaan PAS.

Apa yang ingin saya sampaikan di sini ialah keberanian Ustaz Azhar dalam menegur kerajaan atas hal mungkar. Alhamdulillah beliau konsisten semenjak dahulu, tidak mengira siapa. Kualiti ini mesti dipertahankan agar ada semak dan imbang antara ulamak dan umarak. Kerajaan pula bersikap amat positif dengan teguran beliau atau mana-mana ilmuan. Rasanya tidak berlaku lagi sejak dahulu kerajaan ditegur sebegini. Kalau ada, akan di’gam’lah penceramah itu. Gabungan keduanya saling memperkemaskan bagi kebaikan agama dan masyarakat. Negeri kitakan Terengganu Darul Iman.

Perkara lain yang turut menjadi bualan orang ramai ialah tugasan Exco. Dalam banyak isu sebegini, Exco Agama Terengganu telah dibebankan dengan tanggungjawab ini. Saya menyebut secara khusus nama Exco yang dimaksudkan itu, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah. Hampir semua rakyat Terengganu akan memandang ke arah beliau apabila isu-isu berkaitan seperti perlanggaran hukum syariah. Semua yakin dan percaya bahawa beliau adalah individu yang bertanggungjawab terhadap perkara sebegini.

Saya simpati kepada beliau, kerana ramai yang tidak faham apakah tugas dan portfolio Exco-Exco. Baiklah, biar saya terangkan secara ringkas. Pertamanya tiada jawatan ‘Exco Agama’ di Terengganu, ia tidak pernah wujud. Yang ada hanyalah Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri yang beliau sandang. Serta satu lagi Jawatankuasa Perlaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi yang dipegang oleh YB Ustaz Satiful Bahari Mamat. Keduanya memang berkait dengan keagamaan tetapi ada pecahan di dalamnya.

Bagi hal berkaitan dakwah, pengimarahan masjid, penyelidikan, ia berada di bawah kendalian YB Ustaz Mohd Nor. Manakala apa-apa yang berkaitan dengan perlaksanaan syariah seperti perlanggaran enakmen yang sedia ada, mahkamah syariah, pendidikan itu tertanggung di atas bahu YB Ustaz Satiful. Maka jelas, ia dipecahkan bagi menunjukkan betapa seriusnya Kerajaan Terengganu mahu memartabatkan Islam, seorang Exco, tidak mencukupi.

Tetapi paling tersasar dalam isu zumba ini ialah apabila orang yang tidak mengetahui cuba bercakap. Saya yakin Ustaz Azhar bertindak secara ilmu menegur kerajaan, tetapi malang bagi sesetengah orang yang hanya mendengar, tapi tidak memahami. Maka kedengaranlah suara yang menuduh ‘Exco Agama’ tidak melakukan kerjanya. Padahal isu senamrobik ini adalah di bawah Exco Pembangunan Belia, Sukan dan NGO, iaitu YB Ustaz Wan Sukairi.

Sebab itu selang beberapa ketika setelah teguran Ustaz Azhar, YB Ustaz Hishamuddin Abdul Karim, segera turun ke lapangan, meninjau aduan itu, yang mana beliau adalah timbalan kepada YB Ustaz Wan Sukairi. Dan kemudiannya kenyataan menerangkan kedudukan isu itu, telah dikeluarkan oleh YB Ustaz Wan Sukairi. Malangnya serangan telah dilakukan dengan agak rakus, secara salah tanpa mengetahui duduk perkara sebenar. Apalagi dengan simbahan minyak oleh penyokong Umno dan PH, ia lebih menyemarakkan lagi api kemarahan itu.

Sama juga dengan isu tauliah mengajar di masjid-masjid. YB Ustaz Mohd Nor telah dituduh sebagai lembab, penakut, sayangkan kedudukan kerana apa yang dikatakan sebagai masalah kelulusan tauliah. Walaupun sebenarnya urusan tauliah tidak berada di bawah beliau. Ia bawah JK Pengajian Islam yang dipengerusi Dato SS Mufti sebagaimana dalam Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Islam 2001. Namun akhirnya yang berkuasa meluluskannya ialah Tuanku al-Sultan Terengganu. Ia kuasa tertinggi dalam pentadbiran.

Rasanya semua orang faham bahawa peranan Sultan-Sultan ataupun Raja-Raja di Tanah Melayu ini adalah Ketua kepada agama Islam bagi setiap negeri. Maka siapa lagi yang boleh mempertikaikan kebijaksanaan Tuanku memilih?

Saya pada mulanya tidak mahu mencampuri urusan seperti ini. Ia kelihatan mahu ‘back up’ Exco. Tetapi ia sangat jelas salah. Oleh itu atas dasar simpati kepada kawan, saya menulis. Atas dasar tidak mahu fitnah tersebar juga, saya menulis. Atas mahu membina ukhwah terhadap sesama jemaah juga, saya menulis. Jadilah seorang yang berilmu, memahami keadaan, tahu di mana dan ketika mana yang sesuai bagi memberikan kritikan. Bukan semborono sahaja menyebarkan sesuatu walaupun kita rasakan kita banyak mengetahui. Besar kesan buruknya nanti.

Kecuali anda memang berniat untuk menyerang, menjatuhkan atas niat yang tidak benar, maka Allah maha mengetahui. Pun begitu, pastikan sasaran anda tepat dengan fakta yang jitu, jika betul-betul mahu menjatuhkan.

Mohd Nasir Abdullah
6hb April 2021