Assabiqun Seru Kekalkan Kemenangan Tiga Buah Negeri

179

Oleh : Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU – Assabiqun Pusat menyeru kepada semua pemimpin, ahli dan pendokong PAS agar mengekalkan kemenangan di tiga buah negeri pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Setiausahanya, Mohd Nor Mohamad berkata, menjadi kewajipan kepada rakyat Terengganu, Kelantan dan Kedah untuk mengukuhkan pengkalan politik melayu Islam di negara ini.

“Assabiqun mengharapkan supaya tiga kerajaan sekarang ini akan dapat dipertahankan kerana tiga negeri menjadi pengkalan kepada keutuhan parti (Melayu Islam) terutama PAS.

“Dan kita mengharapkan kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) mampu meningkatkan peluang untuk kita capai kemenangan di negeri-negeri lain,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membuat kunjungan hormat ke Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, pada semalam.

Turut serta dalam rombongan tersebut ialah Bendahari, Abd Halim Hassan, penolong Setiausaha 1, Muhamat Puzi Ahmat, dan Pegawai Tugas-Tugas Khas, Mohd Suhaimi Mohd Long.

Menurutnya, peranan PAS dalam politik sekarang sangat penting bagi menyelamatkan kuasa politik Melayu Islam.

“Kalau tidak ada perpaduan antara parti tersebut mungkin kuasa politik boleh bertukar tangan selepas PRU ke-15.

“Kepimpinan PAS perlu lebih proaktif berperanan di semua peringkat supaya kerjasamana MN ini diperkukuh dan PN terus diperkuatkan tapi tonggaknya mestilah daripada MN,” ujar beliau.

Beliau menambah, melalui MN mungkin boleh meraih kemenangan tetapi sukar untuk mendapat majoriti 2/3 parlimen.

Sementara itu, beliau berpendapat samaada PAS bertanding atas lambang PN atau sebaliknya adalah keputusan pihak tertinggi kepimpinan.

“Pada pandangan Assabiqun sekiranya PN boleh dianggotai oleh PAS, Umno dan Bersatu sekarang, saya yakin penggunaan simbol PN banyak membantu mencapai kemenangan , tetapi bergantung kepada keputusan Majlis Presiden,” katanya.

Tambahnya, beliau turut memaklumkan bahawa Assabiqun akan mengadakan satu program yang dijadualkan akan diadakan di negeri Terengganu pada 24 Julai 2021.

“Untuk program Assabiqun 2.0 kita akan mengadakan anugerah tokoh setiap negeri dua orang seorang tokoh muslimin dan seorang lagi tokoh Muslimat,” tambah Mohd Nor.