CASABLANCA – Ribuan penduduk mengadakan bantahan di jalan-jalan raya Casablanca kelmarin bagi menuntut pembaharuan politik yang lebih menyeluruh.
Mereka mendakwa perubahan yang dilaksanakan baru-baru ini tidak mencukupi.
Menurut saksi, sehingga 5,000 orang mengadakan bantahan di daerah penduduk miskin, Hay Mohammadi, di Casablanca.
Lagi beberapa ribu orang dilaporkan mengadakan bantahan di serata negara, kata polis.
Ini kali pertama para penunjuk perasaan mengadakan bantahan tanpa sokongan badan Keadilan dan Kebajikan Islam.
Awal bulan ini, badan itu menarik diri daripada ‘Gerakan 20 Februari’ yang mencetuskan Revolusi Melur di Maghribi, dengan mendakwa ia telah menjadi sasaran ‘serangan’ daripada golongan belia dalam gerakan prodemokrasi itu.
‘Kami berada di sini bagi memaklumkan bahawa kami akan terus berjuang di sebalik pengunduran parti politik Islam atau parti politik lain.
‘Tuntutan kami adalah sah dan ia tidak berubah iaitu penubuhan Parlimen diraja dan lebih keadilan sosial,’ kata seorang penunjuk perasaan di Casablanca, Encik Hamza Mahfoud.
Antara 300 dengan 500 orang dilaporkan mengadakan bantahan serupa di bandar Rabat.
Awal bulan ini, Gerakan 20 Februari berkata ia bersedia berunding dengan ketua pemerintah Islam yang baru dilantik tetapi dengan syarat tahanan politik dibebaskan, media diberi kebebasan bersuara dan lebih kebebasan peribadi.
Parti Keadilan dan Pembangunan (PJD) memenangi pilihan raya pada November lalu, yang diboikot oleh gerakan itu.
Berbeza dengan keadaan di Tunisia dan Mesir, Raja Maghribi, Raja Mohammed VI, sebelum ini berjaya membendung bantahan rakyat dengan menawarkan pembaharuan perlembagaan yang menyekat kuasa mutlaknya.
Ini termasuk memberi kuasa sebenar kepada perdana menteri yang dilantik di parlimen dan bukan dipilih oleh pihak diraja dan satu sistem kehakiman yang bebas.
Raja Mohammed juga berikrar akan ‘meluaskan kebebasan individu dan kolektif dan mengukuhkan lagi hak asasi dalam semua dimensi’ dan bercakap tentang ‘pembentukan sebuah kehakiman bebas’.
Raja Maghribi turut mengumumkan pembentukan satu suruhanjaya bagi mengusahakan pindaan-pindaan perlembagaan itu.
Bagi ribuan rakyat Maghribi yang mula memberontak di beberapa bandar pada 20 Februari lalu, pembaharuan itu dianggap sebagai tidak mencukupi.
Namun, gerakan itu mula hilang momentum selepas pilihan raya diadakan pada November lalu. — AP, AFP, Reuters.