MARANG – Pemuda PAS menegaskan, para remaja adalah merupakan benteng yang wajib mempertahankan Islam pada masa hadapan dari segala anasir yang merosakkannya.
Ketua Pemuda PAS Marang Ustaz Sulaiman Sulong menegaskan, agar para remaja tidak leka dengan ‘dunia’ dan melupakan pengorbanan para Rasul serta pejuang Islam terdahulu dalam menegakkan agama Allah itu.
“Betapa beruntungnya adik-adik hadir ke program sebegini supaya kita tidak lari daripada landasan ‘manhaj’ yang telah digariskan oleh Islam.


Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kem Super Muslim ‘Korban Cinta Agung’ yang dianjurkan oleh Jabatan Pembangunan Remaja (JPR) dan Ameerah DUN Bukit Payung.
Beliau mengajak para remaja agar mengambil pengajaran dari program yang baik itu, sebagai bekalan kepada para remaja menempuhi cabaran akan datang.
“Kamu semua adalah benteng yang mesti mempertahankan Islam, agama yang diturunkan oleh Allah SWT,
“ambillah mutiara-mutiara yang berharga, guna untuk kita mendepani cabaran pada hari-hari mendatang”,saran beliau.
Sehubungan itu, Pengarah program, Muhammad Hafiz Sahidi berkata, program tersebut yang diadakan sempena cuti sekolah diambang Eidul Fitri amat penting dalam usaha menyemaikan tanggungjawab berdakwah.


“Program ini dianggap berjaya dengan penyertaan peserta diluar jangkaan kami iaitu mencecah angka 100 lebih peserta (dan) kami ingin mengucapkan ribuan tahniah buat peserta
“dan ibu bapa terutamanya yang menghantar anak-anak mereka ke program berilmiah sebegini pada waktu cuti persekolahan,”ujarnya.
Hafiz yang menyifatkan penganjuran kem yang mempunyai objektif ‘dua dalam satu’ itu, diadakan bagi menyemarakkan lagi perayaan Eidil Adha dan dapat menyemarakkan sirah perjuangan para nabi dalam menyampaikan Islam kepada manusia.
Seorang jurutera muda, Mohd Syakir Shamsudin, 27, yang merupakan lulusan sarjana dari salah sebuah universiti di United Kingdom dan seorang pensyarah sebuah universiti tempatan telah didatangkan khusus bagi menjadi ‘pembakar semangat’ para remaja dalam program tersebut.





























