Rampasan Tanah RTB Kubang Labi Untuk Projek Udang I-Sharp

1348

Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Kubang Labi adalah 400 lot RTB pertanian dengan keluasan 1 hektar untuk setiap  lot tanah di kawasan Kampung Banggol yang diagihkan kepada rakyat yang berhak pada tahun 2002 ketika era pemerintahan PAS Terengganu dalam bentuk pemberian Lesen Menduduki Sementara (LMS). Perlu dimaklumi bahawa sebahagian dari peserta RTB Kubang Labi ini adalah penyokong Umno dan JKKK tetapi kerana mereka juga berhak menjadi tanggungjawab kerajaan
PAS Terengganu untuk melaksanakan keadilan tanpa pilih kasih dan diskriminasi.

Sebelum daripada kawasan tanah Kubang Labi diagihkan kepada rakyat, ia merupakan kawasan hutan belukar dan semak-samun terbiar tanpa sebarang aktiviti ekonomi kecuali kepada pemungut  madu lebah dan pencari daun palas.

Atas semangat untuk membina asas baru mata pencarian bagi kehidupan keluarga serta memanfaatkan  langkah bijak kerajaan negeri ketika itu, para peserta RTB telah mengeluarkan belanja sendiri dengan purata jumlahnya sekitar RM5,000 seorang untuk membiayai kerja-kerja pembersihan sehinggalah kawasan hutan belukar bertukar menjadi kawasan pertanian yang terang benderang.

Berbudi pada tanah tidak sia-sia. Hasilnya kawasan hutan belukar, semak samun bertukar menjadi kebun sayur, lada, terung, mentimun, kacang panjang, nenas malah ada yang mengusahakan ternakan ayam. Peratusan kecil sahaja daripada kawasan RTB yang ditumbuhi lalang, mengambarkan bahawa penduduk memang sangat-sangat memerlukan tanah pertanian.

Peserta RTB Kubang Labi terus mengusahakan tanah-tanah mereka bermula 2002 sehingga Julai 2010, detik di mana buldozar pemaju i-SHARP mula mengali dan meratakan tanah mereka. LMS lot-lot tanah ini memang telah tidak diperbaharui selepas kembalinya UMNO/BN berkuasa pada 2004 walaupun pihak kerajaan sebenarnya tidak mempunyai apa-apa perancangan untuk mengguna pakai tanah-tanah tersebut. Satu-satu alasan kenapa LMS tidak diperbaharui adalah semata-mata kerana RTB tersebut diagihkan kerajaan Pas.

Ketika tindakan rakus merampas tanah, meruntuhkan rumah dan masjid serta memusnahkan kebun-kebun penduduk semasa era MB Idris Jusoh, peserta RTB Kubang Labi terselamat walaupun sebenarnya kerajaan BN Terengganu memang berhajat untuk melenyapkan apa jua peninggalan kerajaan PAS terdahulu.

Anugerah tanah untuk Blue Archipelago

Hadirnya  Syarikat Blue Archipelago Berhad dengan anugerah dan restu Kerajaan BN Negeri Terengganu membawa episod baru perjuangan rakyat. Demi melaksanakan projek udang, Taman Akuakultur Udang Bersepadu, Setiu (i-SHARP) berkeluasan kira-kira 1,000 hektar (2,400 ekar) dan menelan kos RM290 juta, yang merangkumi kawasan Kampung Nyatoh dan Kampong Banggol, Kerajaan Negeri  Terengganu telah menganugerahkan tanah berkeluasan tersebut dengan taraf pajakan selama 30 tahun kepada pemaju, Blue Archipelago Berhad sebuah anak Syarikat Khazanah Nasional Berhad, Agensi Pelaburan Kerajaan di bawah Kementerian Kewangan.

Bermakna dana 290 juta yang digunakan adalah dana awam. Syarikat inilah juga yang mengusahakan Projek Ternakan Udang Harimau di Kerpan, Kedah.
Di samping kawasan hutan paya gelam Kampung Nyatoh, Permaisuri yang telah dimusnahkan, tanah RTB penduduk turut terlibat. Daripada 400 peserta, RTB yang diusahakan kira-kira 70 orang peserta termasuk ke dalam perancangan projek i-SHARP.

‘Sodok’ terus, jangan pedulikan penduduk!

Asalnya kerajaan negeri seolah-olah memberi lesen untuk pemaju menjalankan kerja termasuklah memusnahkan kebun dan tanaman penduduk tanpa apa-apa bayaran! Alasannya, tanah itu adalah milik kerajaan dan rakyat adalah peneroka haram tanah kerajaan. Kemudian, atas ihsan pihak kontraktor yang menjalankan kerja-kerja pembersihan dan pembinaan prasarana, peserta RTB ditawarkan RM500 untuk setiap lot tanah.  Sungguh satu penghinaan kepada rakyat yang tak berdaya.
Pendirian i-BANTAH

Di sinilah segalanya bermula bagi ‘Jawatankuasa Bertindak Menangani Isu Projek Udang i-SHARP’ atau ringkasnya i-BANTAH yang ditubuhkan dan menjadi teraju dalam menangani permasalahan ini . Di samping Isu alam sekitar dan sosio-ekonomi yang turut ditangani walaupun kadang-kadang penilaiannya terlalu relatif dan subjektif. Tetapi isu melibatkan rakyat akan kehilangan tanah yang diusahakan sebagai punca pencarian adalah suatu yang tragis. Sebagaimana sering ditegaskan, i-BANTAH tidak pernah menghalang projek dan kemajuan, tetapi, ingat! Jangan ada pihak yang teraniaya. Apa saja atas nama projek dan pembangunan tidak sepatutnya dibina di atas titisan air mata dan kehampaan satu pihak yang lain.

i-BANTAH, berperanan sebagai orang tengah antara penduduk dengan pemaju dengan pelbagai tindakan dan gerak kerja.  Rapat umum bantahan telah dibuat, edaran risalah kepada penduduk, sidang media, penulisan artikel dalam media cetak dan elektronik, engagement dengan NGO’s seperti Sahabat Alam Malaysia serta perundingan demi perundingan dengan pihak pemaju Blue archipelago Berhad dilakukan, akhirnya mereka bersetuju untuk membayar pampasan dengan nilai yang dijanjikan setimpal dengan penat lelah, kehilangan mata pencarian dan hasil yang sedang disusahakan. Janji pemaju, nilainya mencecah jutaan ringgit. Penduduk menunggu dengan penuh harapan.

Secara ringkasnya apa yang telah dan akan dilakukan oleh i-BANTAH

1.    Kajian dan pengumpulan fakta.
2.    Mewujudkan laman web.
3.    Perjumpaan dan penerangan serta edaran maklumat dengan masyarakat setempat.
4.    Sidang akhbar.
5.    Ceramah umum.
6.    Pertemuan dan dialog dengan agensi berkaitan seperti JAS.
7.    Penyerahan memorandum bantahan kepada Kerajaan Negeri.

Putar Belit Pemaju dan Pejabat Tanah Setiu

Para peserta RTB terlibat dipanggil ke pertemuan dengan pihak Pentadbir Tanah Setiu di Suria Beach Resort, Merang pada 3 Februari 2011 yang lalu. Agendanya, kononnya perbincangan berkenaan pampasan tanah yang akan diambil untuk projek udang. Tapi ternyata rakyat sekali lagi diperbodohkan. Tidak ada sebarang perbincangan berlaku sebenarnya.

Benarkah peserta RTB peneroka haram?

Pegawai dari Pejabat Tanah Setiu hanya bercakap seorang diri, syok sendiri tanpa memberi peluang penduduk bersuara. Berulang kali beliau menayangkan, buku hijau ‘Kanun Tanah Negara’ dengan menegaskan juga secara berulang kali beserta nada penghinaan bahawa penduduk adalah penceroboh tanah kerajaan yang sebenarnya tidak layak mendapat sebarang pampasan atau saguhati.

Pampasan atau sekadar jenaka?

Tapi atas ihsan dan belas kasihan, mereka akan dibayar RM5,000 seorang untuk tanah yang diusahakan dan RM3,000 seorang untuk tanah yang tak diusahakan. Sebahagian besarnya cuma mendapat RM3,000. Kata Pegawai Pejabat Tanah tersebut, inilah jumlah yang dipersetujui untuk dibayar oleh pemaju. Mana mungkin ada orang yang waras boleh bersetuju dengan nilai pampasan ini setelah menerima penghinaan sebegitu termasuk juga Pengerusi JKKK Banggol yang turut hadir dalam majlis tersebut.

Sebagaimana yang telah dijelaskan, kos yang telah dikeluarkan oleh setiap peserta untuk kerja-kerja pembersihan tanah diperingkat permulaan dahulu sahaja mencecah RM5,000 bagi setiap peserta. Belum lagi diambil kira nilai penat-lelah, kehilangan hasil-hasil tanaman dan sumber pendapatan dan pelbagai lagi.
Peserta RTB Mangsa Putar Belit

i-BANTAH telah menghubungi peguam pemaju beberapa kali, memohon penjelasan berkenaan hal pampasan ini. Mana yang dijanjikan dulu pampasannya bernilai jutaan ringgit? Kalau RM5,000 untuk 70 peserta baru RM350,00. Itu pun ramai yang terima Cuma RM3,000. Sikap dolak dalihnya mula terdedah. Katanya, inilah jumlah nilai saguhati yang dinilai oleh Pejabat Tanah Setiu, sedangkan pegawai Pejabat Tanah Setiu menyatakan, inilah nilai yang setuju dibayar oleh pemaju. Siapa yang benar dalam hal ini atau kedua-duanya pembohong untuk melepaskan diri. Siapa yang menjadi mangsanya? Masih rakyat bawahan. Atas kebenaran siapakah, pemaju boleh melakukan semua ini? Jawabnya, atas lesen yang diberikan kerajaan Umno Terengganu.

Setimpalkah nilai saguhati?

Saguhati antara RM3,000 – RM5,000 yang dibayar untuk satu lot tanah RTB dengan keluasan 2.4 ekar tak banyak memberi makna berbanding kehilangan pergantungan petani kepada hasil pertanian yang dimusnahkan menyebabkan mereka kehilangan sumber pencarian. Walaupun dijanjikan peluang pekerjaan di kawasan projek, tetapi tinjauan  i-BANTAH mendapati buat masa ini tenaga kerja dari Indonesia, Bangladesh dan Kemboja masih mendominasi. Janji adalah suatu janji tetapi situasi semasa itu yang dilihat. i-BANTAH tidak menyatakan pemaju berbohong, tetapi mohon diberikan penjelasan.

Bantahan dan Tuntutan Penduduk

1.    Keluarkan kawasan RTB Kubang Labi dari kawasan projek i-SHARP. Daripada 1,000 hektar tanah yang diperuntukan, kira-kira 70 lot tanah RTB dengan keluasan 1 hektar setiap lot yang terlibat atau kira-kira 70 hektar sahaja tanah RTB penduduk. Tak cukupkah keluasan projek udang dengan baki kira-kira 930 hektar yang ada sehingga punca mata pencarian rakyat rakyat seluas sekangkang kera pun dilahap ?

2.    Walaupun pembinaan kolam di kawasan tanah RTB penduduk adalah rancangan fasa kedua projek, tetapi hakikatnya kemusnahan dahsyat telah berlaku apabila tanah-tanah kebun penduduk dikorek dan diangkut untuk kerja-kerja tebus guna tanah paya di kawasan fasa pertama projek. Penduduk menuntut segala kemusnahan ini dipulihkan walau dengan apa kos sekalipun dan kembalikan sumber periuk nasi kami.

3.    Kenapa penduduk yang terlibat tidak pernah diajak berunding berkaitan pelaksanaan suatu projek yang mengaitkan kesan langsung kepada mereka. Dakwaan didalam laporan EIA bahawa pandangan dan perundingan dengan penduduk setempat telah dibuat adalah pembohongan semata-mata. Apatah lagi ‘Local Agenda’ mengariskan bahawa sebelum sesuatu pembangunan yang melibatkan kepentingan penduduk dilaksanakan, penduduk setempat mesti diajak berunding terlebih dahulu.

4.    Kerajaan Negeri dituntut untuk member penerangan menyeluruh berkenaan projek ini kepada rakyat. Amat malang sekiranya MB pula bertindak seolah-olah menjadi jurucakap bagi pihak pemaju untuk mewar-warkan kononnya pelbagai kejayaan yang sebenarnya masih di awangan.

Dr Azman Ibrahim
Pengerusi
Jawatankuasa Bertindak i-BANTAH