Rakyat Semakin Berani, Mahu Kepimpinan Telus dan Amanah

740

Oleh: RR

KUALA TERENGGANU – Kebangkitan rakyat semakin terserlah apabila ratusan ribu rakyat Malaysia turun ke jalanan secara aman bagi menyuarakan tuntutan terhadap kerajaan agar lebih telus, adil dan bertanggungjawab dalam kepimpinan negara.

Sarah Aqilla Razali, 31 tahun, dari Seberang Takir, Kuala Nerus merupakan antara peserta yang hadir bagi menyatakan pendiriannya secara terbuka.

Beliau menyifatkan himpunan kali ini sebagai simbol keberanian rakyat yang tidak lagi mahu berdiam diri terhadap isu-isu nasional yang menekan kehidupan seharian mereka.

“Saya rasa sangat bersemangat dan bangga kerana menjadi sebahagian daripada 500,000 rakyat yang turun menyatakan hasrat untuk melihat perubahan.

“Ini bukti bahawa suara rakyat masih hidup dan lantang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sarah Aqilla (disebelah kanan dan memakai topi warna hitam)
Menurut Sarah, himpunan itu bukan sekadar pertemuan biasa, malah menjadi pentas solidariti rakyat daripada pelbagai latar belakang, usia dan kaum yang hadir dengan satu matlamat bersama.

“Sepanjang himpunan, saya lihat semangat anak muda dan rakyat dari pelbagai lapisan umur dan bangsa begitu kuat.

“Semua hadir dengan satu tekad, harapan dan matlamat untuk menyatakan pendirian secara aman,” jelasnya.

Sarah turut menyatakan bahawa beliau hadir bersama keluarga dan rakan-rakan sebagai tanda sepakat dalam menuntut perubahan, menggambarkan kesedaran kolektif masyarakat terhadap hala tuju negara.

“Ini bukan isu peribadi. Ini isu bersama. Sambutan sangat luar biasa
Ia membuktikan rakyat masih peduli dan cakna terhadap masa depan negara,” ujarnya.

Justeru, beliau berharap suara rakyat yang dizahirkan dalam himpunan ini tidak dipandang sepi oleh pihak kerajaan dan menyeru agar para pemimpin bermuhasabah serta mendengar denyut nadi rakyat.

“Kita mahu pemimpin yang benar-benar peduli dan amanah.
Jika tidak mampu memimpin dengan adil, lebih baik berundur. Negara ini bukan milik individu, tetapi amanah untuk seluruh rakyat,” tegasnya.

Sarah juga menyatakan kesediaan untuk terus menyertai himpunan aman pada masa hadapan sekiranya suara rakyat terus diketepikan.


Sementara itu, Wajihah Rosli, peserta dari Langkap, Setiu menyifatkan penyertaannya bukan sekadar menghadiri acara, tetapi sebagai satu bentuk tanggungjawab demi masa depan rakyat dan generasi akan datang.

“Saya rasa sangat teruja dan bersemangat kerana ini bukan sekadar himpunan, tetapi satu usaha kolektif untuk membawa perubahan.
Walaupun terpaksa berjalan kaki lebih lima kilometer ke lokasi, ia tidak mematahkan semangat kami. Melihat warga emas hadir dengan bertongkat dan berkerusi roda, dari pelbagai negeri dan bangsa itu sangat menginsafkan,” jelasnya.

Beliau turut menggambarkan suasana himpunan sebagai sangat harmoni dengan cuaca yang mendamaikan. Rintik hujan yang turun dianggap sebagai rahmat menyelimuti semangat perjuangan rakyat.

“Suara rakyat bergema di setiap pelosok, dengan kibaran bendera, plakad dan laungan ‘Turun, turun, turun Anwar’ yang membuktikan rakyat tidak lagi mahu dipermainkan dengan janji-janji kosong,” katanya.

Justeru itu, beliau menegaskan bahawa rakyat kini semakin matang dan sedar bahawa mereka berhak menuntut perubahan daripada pemimpin yang gagal melaksanakan amanah dengan baik.

“Kita perlukan pemimpin yang mendengar, amanah dan benar-benar membawa penyelesaian kepada kesempitan hidup rakyat.
Cukuplah dengan janji manis. Semoga himpunan ini menjadi titik tolak kepada perubahan besar yang rakyat dambakan,” tambah Wajihah.

Seorang lagi peserta, Rohani Ramli menyifatkan penyertaannya dalam himpunan ini bukan hanya kehadiran fizikal, tetapi sebagai simbol sokongan terhadap perjuangan rakyat menuntut kebenaran.

“Saya rasa sangat gembira dapat menyertai himpunan ini sambil mematuhi arahan pimpinan.
Ia berlangsung dengan sangat aman, penuh disiplin dan semangat kebersamaan yang luar biasa,” katanya.

Tambah Rohani, himpunan tersebut merupakan antara yang paling harmoni pernah disertainya, menggambarkan kematangan rakyat dalam menzahirkan pendapat secara berhemah.

“Walaupun Perdana Menteri tidak turun, maruah sebagai pemimpin utama negara sudah pun tercalar.
Himpunan ini membuktikan bahawa rakyat tidak lagi meletakkan kepercayaan kepada kepimpinan sedia ada,” tegas beliau lagi.