KUALA TERENGGANU – Rakyat Malaysia hari ini semakin mengenali dan boleh menilai sendiri kemampuan dan prestasi kepimpinan Madani selepas tiga tahun sembilan bulan mentadbir kerajaan persekutuan.
Yang Dipertua PAS Kawasan Setiu, Ustaz Zul Bhari Ab Rahman berkata, pengalaman politik ‘getir’ yang dilalui memberi ruang kepada para pengundi untuk membuat keputusan sebelum menghadapi PRU16 akan datang.
Menurutnya, keadaan tersebut berbeza berbanding sebelum ini apabila sebahagian masyarakat mungkin mempunyai persepsi tertentu terhadap tokoh atau pemimpin berdasarkan imej dan gaya perjuangan yang dibawa.
“Allah Taala nak suruh kita kenal, nak suruh kita kenal siapa dia sebenarnya. Hari ini masyarakat Malaysia, rakyat Malaysia termasuk kita di Setiu, kita kenal dah,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PAS Kawasan Setiu pada Jumaat.


Oleh itu beliau menggesa ahli dan penyokong PAS, tidak hanya bergantung kepada sentimen, sebaliknya memperkukuh gerak kerja menyampaikan mesej perjuangan kepada masyarakat.
Katanya, perubahan sokongan rakyat perlu disambut dengan kesiapsiagaan jentera di semua peringkat agar setiap perkembangan siyasi dapat diladeni dengan tersusun
.
“Kalau tidak dekat dengan dia, pengundi kita, maka kitalah kena mengatur komunikasi dengan dia sikit lagi.
“Bila kita yang kena mengatur, persialannya adakah kita sudah bersedia?” tegasnya.
Justeru katanya, Majlis Pelancaran jentera di peringkat kawasan menjadi tanda bahawa seluruh petugas perlu tingkatkan usaha menghadapi perkembangan politik semasa.


“Pada malam ini kita lancarkan jentera pilihan raya di peringkat Parlimen Setiu dan kawasan Setiu bagi menyatakan kesiapsiagaan kita menghadapi sebarang kemungkinan pembubaran Parlimen yang akan diisytiharkan,” ujarnya.
Oleh yang demikian katanya, semua DUN dan cawangan perlu mengerahkan tenaga, menumpahkan keringat bagi memastikan pergerakan di semua peringkat, dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh.
Menurutnya, persediasn bukan sahaja untuk menghadapi PRU malah persiapan mental dan fizikal sekiranya diberi mandat untuk mengambil alih pentadbiran Putrajaya.
“Jadi malam ini kita nak menyatakan kepada semua bahawa kita bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan pilihan raya dan bersedia menjadi kerajaan memerintah negara kita,” katanya.





























