Oleh : Suhaimi Taib
KUALA TERENGGANU – Kerajan Terengganu memberi komitmen, Projek Pusat Pembangunan Bebas Cukai di Pulau Bayas Tasik Kenyir Hulu Terengganu akan disiapkan sepenuhnya untuk dijadikan sebagai hub pelancongan dan sumber pendapatan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri Ustaz Ariffin Deraman berkata, Projek Zon Bebas Cukai itu telah siap hampir 78 peratus sehingga 31 Oktober tahun lalu.
“Kerajaan akan meneruskannya sehingga selesai walaupun kontraktor tidak menyiapkannya mengikut jadual, ” katanya ketika ditemui di Lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di sini baru-baru ini.
Sebelum itu dalam Mesyuarat Pertama Penggal Pertama DUN Terengganu Ke 14, beliau berkata, dalam tempoh itu, projek berkenaan telah siap sebanyak 77.53 peratus dengan kos sebanyak RM203.86 juta.
Projek tersebut terbahagi kepada enam pakej termasuk kerja membina dan menyiapkan Bangunan Terminal Utama Jeti Penumpang (Jeti Service) dan kerja-kerja berkaitan Pulau Bayas.
“Projek ini sepatutnya telah siap 100 peratus tetapi kontraktor hanya berjaya menyiapkannya sebanyak 80.4 peratus sahaja dengan kos sebanyak RM58.90 juta, ” jelasnya.


Menurut beliau, seterusnya kerja membina dan menyiapkan Pencawang Elektrik, Sistem Agihan Bekalan Tinggi dan Rendah serta kerja berkait dengan KTC pulau tersebut, baru disiapkan sebanyak 50 peratus, sedangkan mengikut jadual siap 100 peratus.
Menurut Ustaz Ariffin, projek ini menelan belanja sebanyak RM3.9 juta.
Selain itu, kata beliau, projek seterusnya termasuk kerja membina dan menyiapkan Jalan Service Laluan Pendaratan Bot, Hentian Rehat bagi Lay Bay, Wakaf, Paip Air Kumbahan dan kerja-kerja berkaitan, prestasi kerjanya sebanyak 99.4 peratus dengan kos RM19.4 juta.
“Kerja-kerja membina dan menyiapkan Sistem Rawatan Air dan Kumbahan serta kerja-kerja berkaitan KTC di Pulau Bayas hanya siap 80 peratus yang sepatutnya siap 100 peratus dengan menelan belanja sebanyak RM16.88 juta.
“Kerja-kerja membina dan menyiapkan Jalan Service PPU ke SSU Pulau Bayas, siap 100 peratus dengan kos sebanyak RM10.85 juta,” jelas beliau.
Ustaz Ariffin menegaskan bahawa kegagalan projek disiapkan mengikut jadual akan dikaji semula dan akan disiasat puncanya untuk penambahbaikan.




























