Projek Pembangunan Kerajaan Terengganu Secara Bayaran Bertangguh Undang Petaka Untuk Rakyat

3944

Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu bagi Mesyuarat Ketiga (Bajet) tempohari menyaksikan kegagalan pihak kerajaan untuk bertanggungjawab menjelaskan pelbagai kekeliruan yang ditimbulkan oleh ramai Ahli Yang Berhormat khususnya dari pembangkang. Sikap berlepas tangan pihak Kerajaan Terengganu amat dikesali.

2. Saya merujuk antara kes utama yang membabitkan kepentingan rakyat adalah berkenaan dengan konsep pembangunan yang diserahkan kepada pihak kontraktor secara bayaran bertangguh (deferred payment). Beberapa kes yang dirujuk memerlukan penjelasan pihak kerajaan di dalam persidangan dun. Khususnya semasa melalui penggulungan oleh pihak kerajaan. Saya menunggu penjelasan YAB Menteri Besar berkenaan dengan isu-isu yang ditimbulkan ini. Malangnya, penggulungan YAB Menteri Besar langsung tidak mengambil perhatian walaupun permohonan laluan penjelasan sebelum YAB Menteri Besar menyelesaikan ucapan penggulungan telah diusahakan. Permohonan agar dijelaskan isu ini juga dituntut selepas YAB Menteri Besar selesai ucapan penggulungan. Malangnya, usaha ini telah dihalang oleh pihak Yang Dipertua Dewan.

Bandar Al-Wathiqu Billah Kuala Nerus, Bandar Moden Dalam Taman
Projek bandar pentadbiran Kuala Nerus, antara projek yang dilaksanakan secara hutang ‘deferred payment’ oleh kerajaan Terengganu

3. Berikut saya lampirkan kembali persoalan yang menimbulkan tanda tanya di kalangan rakyat berasaskan rujukan teks Ucapan Bajet 2016 dan teks Ucapan Bajet 2017.
i. Dalam Bajet 2016, pembangunan infrastuktur dan pusat pentadbiran Kuala Nerus secara ‘bayaran berjadual dengan had’. Kos yang dipersetujui ialah sebanyak RM600 juta. Projek akan disiapkan dalam masa 4 tahun. Pembayaran akan dilakukan sebanyak RM70 juta setiap tahun selama 10 tahun mulai tahun 2016. Jumlah keseluruhan meningkat kepada RM 700 juta.

Persoalannya, siapakah pemaju yang diberikan anugerah projek ini? Apakah justifikasi pemilihan kontraktor terbabit? Apakah syarikat mereka memiliki dana yang begitu kukuh untuk menyiapkan pembangunan dalam tempoh 4 tahun dalam keadaan Kerajaan Negeri hanya mampu menjelaskan komitmen tahunan RM70 juta sahaja. Tidakkah dengan jumlah RM600 juta, keperluan purata projek ini adalah RM150 juta setahun? Jika demikian keadaannya, apakah syarikat pemaju terbabit mengambil langkah membuat suntikan modal sendiri sebanyak RM80juta setiap tahun? Benarkah Kerajaan Negeri tidak terbabit dalam menjamin pinjaman dengan pihak swasta jika syarikat ini perlukan suntikan modal yang berjumlah besar ini? Jika melibatkan kerajaan negeri, berapakah jumlah faedah yang dikenakan?

ii. Dalam Bajet 2017, peruntukan untuk pembangunan pusat pentadbiran Kuala Nerus bagi tahun 2017 adalah sebanyak RM90 juta (Kod Butiran Projek 16940). Bagaimana komitmen tahunan asal sejumlah RM70 juta setiap tahun (Kod Butiran Projek 16940, 2016), kini berlaku peningkatan sebanyak RM 20 juta bagi tahun 2017?

iii. Dalam bajet 2017, pembangunan Loji Rawatan Air yang akan dibina di Pulau Bahagia, Kuala Terengganu dan Bukit Berapit, Kuala Nerus akan menelan belanja sebanyak RM797 juta dan loji rawatan air di Bukit Sah, Kemaman akan dinaiktaraf dengan melibatkan kos sebanyak RM499 juta. Semuanya akan menggunakan skim bayaran secara tertangguh (deferred payment).

Persoalan yang hampir sama, adakah ia menggunakan konsep yang sama seperti pembangunan infrastruktur dan pusat pentadbiran Kuala Nerus?

4. Seandainya semua ini berasaskan konsep pembayaran bertangguh, tidakkah ia memberi erti bahawa Kerajaan Negeri sedang menyusun agenda pembangunan secara kebergantungan dengan hutang secara sepenuhnya dan tentunya akan memberikan kesan yang agak buruk untuk masa depan negeri Terengganu.

5. Pihak Kerajaan Negeri tidak perlu mengelak dan bimbang untuk memberikan pendedahan ini. Mengelak diri dilihat seperti tidak bertanggungjawab dan memandang ringan agenda-agenda pembangunan yang dilaksanakan seperti hari ini. Saya mengambil tanggungjawab menimbulkan kembali isu ini ekoran sikap kerajaan negeri yang dilihat tidak mahu menjelaskan langsung kepada pihak dewan semasa persidangan. Sikap seperti ini amat dikesali.

Sekian, terima kasih.

“Inilah Penyelesaian Kita”

Yang benar,

YB HISHAMUDDIN BIN ABDUL KARIM
Ahli Dewan Undangan Negeri Tepoh
25 November 2016