PRK Sungai Kandis: PAS Letak Calon Jika Saingan Dua Penjuru

6120

Oleh Suhaimi Taib

KUALA TERENGGANU – PAS akan meletakkan calonnya bertanding di Pilihanraya Kecil bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Selangor sekiranya membabitkan pertandingan dua penjuru.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, PAS akan meminta semua pengundi di DUN tersebut mengundi parti itu termasuk dari ahli-ahli Umno kerana berhasrat mencapai kemenangan dalam pilihanraya tersebut.

Bagaimanapun katanya, PAS mungkin tidak bertanding jika penyertaan calon parti pembangkang terlalu ramai melebihi dua penjuru.

“Apa yang kita ( PAS) harapkan kalaulah parti pembangkang yang lain umpamanya Barisan Nasional (BN), tidak berhasrat untuk bertanding, menjadikan pertandingan dua penjuru, PAS akan meletakkan calon.

“Sekiranya tidak (jika pertandingan tiga penjuru), kita akan pertimbangkan, kita akan kaji balik (untuk meletakkan calon), ” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas perkembangan Pilihanraya Kecil di DUN Sungai Kandis, ketika ditemui media di Rumah Terbuka Idul Fitri PAS Pusat dan Negeri Terengganu di Stadium Negeri di sini pada 8 Julai.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mat Shuhaimi Shafiei, 50, meninggal dunia di Pusat Perubatan Subang Jaya, Selangor pada 11.10 pagi Isnin lalu akibat kanser limfoma.

Sehubungan itu, menuutnya, pada PRU 14 yang lalu, Shuhaimi, ADUN Parti Keadilan Rakyat (PKR) memenangi kerusi DUN Sungai Kandis selepas memperoleh 23,998 undi menewaskan calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518); calon PAS, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin (76).

Datuk Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, meletak calon dalam pilihanraya ialah untuk mencapai kemenangan.

“Jadi kalau sekiranya kita letak calon, calon pula banyak penjuru, keputusan akan jadi seperti dalam PRU14, matlamat tidak tercapai,” jelasnya.

Bagaimanapun PAS tidak membuat apa-apa keputusan sama ada memberi sokongan atau sebaliknya, jika BN bertanding dalam pilihanraya tersebut.