Cadangan Datuk Seri Ahmad Shabery adalah inisiatif dari kementerian beliau dan belum pernah difikirkan oleh mana-mana pihak dalam mana-mana PRU mahupun PRK.
Cadangan Datuk Seri Ahmad Shabery seperti mahu meredakan keadaan dan mengalihkan isu daripada kemarahan rakyat kepada SPR ekoran prestasi PRU ke 13 yang berat sebelah. Hakikatnya, meskipun cadangannya dilihat baik, namun SPR sebagai insititusi yang mengendalikan PRK tetap dipandang serong oleh rakyat selagi mana Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR masih berkuasa. Rakyat masih mahukan Pengerusi dan Timbalannya digantikan sebelum PRK Kuala Besut dilangsungkan.
Sebaiknya, cadangan Datuk Seri Ahmad Shabery akan lebih bernas dan dilihat ikhlas sekiranya beliau mencadangkan agar kerajaan tidak campurtangan dalam kempen PRK Kuala Besut. Biarkan hanya parti BN menentang PAS yang mewakili Pakatan Rakyat, bukan kerajaan melawan PR seperti sebelum ini.
Beliau seeloknya mencadangkan agar tidak ada lagi rasuah pilihan raya dalam bentuk imbuhan, hadiah, bonus, atau projek segera yang diluluskan di kawasan tersebut disamping ugutan dan tawaran tertentu kepada pengundi. Jentera kerajaan pula disekat dari berkempen sebelah pihak bagi menjayakan kempen jentera BN, seolah-olah jentera kerajaan adalah jentera BN.
Beliau pula sanggup mengawal RTM dan semua media rasmi negara dari disalahgunakan oleh kerajaan khususnya sepanjang kempen PRK ini. Tidak ada lagi kempen memburukkan Pakatan Rakyat dan pemimpinnya manakala pemimpin BN dijulang ibarat sang dewa. Malah, lebih membanggakan jika sekiranya beliau sanggup membenarkan RTM, TV3 dan mana-mana media menyiarkan secara langsung ucapan dan kempen dari calon kedua-dua parti sama ada PAS ataupun BN. Ia lebih utama dari menyiarkan secara langsung proses penjumlahan undi.
MOHAMAD SUHAIMI BIN ABDUL AZIZ
Timbalan Ketua
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutua










