Presiden Sudan Isytihar ‘Israel Musuh Nombor Satu’

816

Encik Bashir, 68 tahun, yang kelihatan masih lemah tetapi sihat, berucap selama 15 minit menerusi stesen televisyen milik pemerintah, Blue Nile TV.

Ucapannya itu dirakam sehari sebelum disiarkan di Kedutaan Sudan, di Riyadh, Arab Saudi.

Encik Bashir meninggalkan hospital di Saudi kelmarin selepas pulih daripada menjalani pembedahan kecil keduanya dalam tempoh kurang daripada empat bulan.

“Israel adalah musuh kami, musuh nombor satu kami dan kami akan terus menggelar Israel sebagai musuh kami,” katanya yang terkenal dengan ketajaman suara ketika berbahas.

Kenyataannya itu susulan dakwaan Khartoum bahawa negara Yahudi itu menghantar empat pesawat kawalan radar untuk menyerang kilang tentera di Yarmouk di tengah ibu negara berkenaan pada tengah malam, 23 Oktober lalu.

Israel bagaimanapun enggan memberi kenyataan setakat ini berhubung tuduhan Sudan itu.

Namun, pegawai Israel sebelum ini telah melahirkan keprihatinan mengenai tindakan menyeludup senjata melalui Sudan dan telah lama menuduh Sudan sebagai pangkalan bagi anggota gerakan Hamas yang kini mengawal Jaluran Gaza.

“Selepas insiden di Yarmouk, ramai orang yang marah dan bertanya ‘Mengapa perkara ini berlaku?’,” kata Encik Bashir.

Bagi mengelakkan serangan serupa itu berulang, beliau berkata Sudan mempunyai dua pilihan.

Pilihan pertama ialah memulihkan hubungan dua hala dengan Israel tetapi beliau menegaskan perkara itu tidak akan berlaku.

Pilihan kedua ialah mempunyai teknologi yang membolehkan Sudan melancarkan serangan serupa ke atas Israel.

“Saya tidak boleh katakan yang perkara ini mustahil. Kita sedang cuba mendapatkan teknologi ini,” kata beliau.

Terdapat spekulasi kilang tentera di Yarmouk itu digunakan untuk menyimpan atau menghasilkan senjata untuk Iran. Sudan bagaimanapun menafikan Iran mempunyai sebarang penglibatan dalam kilang itu. – AFP.