Oleh : Aziz Hambali
KUALA LUMPUR – Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berbesar hati menerima permohonan maaf daripada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun.
“Bagus…bagus…baik…baik, itulah sikap yang baik dan terbuka,” katanya ringkas ketika ditemui media di lobi Parlimen, hari ini.
Ustaz Abdul Hadi bagaimanapun, tidak menitipkan sebarang kata-kata nasihat apabila disoal oleh media. “Tiada, tiada (nasihat),” ujar Ahli Parlimen Marang itu.
Minggu lalu (Jumaat), Azhar mengguris hati ‘pengundi perantau’ dalam kenyataannya namun kemudiannya tampil membuat permohonan maaf secara terbuka.
Sebelum ini, Azhar pernah berkata, cadangan untuk melakukan pendaftaran pengundi secara automatik sukar dilakukan kerana Perlembagaan Persekutuan membenarkan pengundi mengundi di tempat mula mendaftar walaupun tinggal di tempat lain.
Kata Azhar, disebabkan perkara itu seramai 60,000 orang Kelantan balik ke Kelantan untuk mengundi dan menyokong hudud sedangkan pada masa lain mereka berada di Kuala Lumpur dan pergi ke kelab malam.
Sementara itu, Negeri Kelantan bersyukur dan menerima permohonan maaf daripada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun terhadap kenyataannya yang mengguris hati rakyat negeri itu.
Menteri Besarnya Datuk Ahmad Yakob berkata, pihaknya juga tiada masalah menerima permohonan maaf itu.
“Kita mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi SPR. Alhamdulillah, kita menerimanya (permohonan maaf),” katanya selepas merasmikan Seminar Hala Tuju Industri Mineral negeri Kelantan di Dewan Teratai, Kota Darul Naim, Kota Bharu.











