Premis Kerajaan Kosong, Laporan Polis Dibuat

9820

Oleh : Khalid Abdullah

KEMAMAN – Perbuatan sesetengah pihak yang mengosongkan serta memindahkan barangan dan aset di premis kerajaan dan tempat awam lain yang sewajarnya dimanfaatkan untuk rakyat sangatlah dikesali.

Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemasik, Ustaz Muhamad Asri Kadir berkata pihaknya memandang serius isu terbabit selain kesal apabila menerima aduan mengenai sikap sebahagian penduduk yang mengambil harta benda tersebut sebaik tampuk pimpinan kerajaan bertukar tangan.

“Meskipun berlaku perubahan kerajaan namun itu tidak bermakna tindakan sesuka hati boleh diambil terhadap premis awam, institusi dan badan-badan seperti balai raya, dewan orang ramai dan sebagainya,” kata Ustaz Muhamad Asri.

Beliau yang ditemui di perkarangan Balai Polis Kertih, di sini petang tadi selepas membuat suatu laporan polis mengenai kejadian berkaitan.

“Sebelah pagi tadi saya bersama Penghulu Mukim Kertih, dua anggota polis dari Balai Polis Kertih dan beberapa rakan memasuki Pejabat Atra Dun Kemasik dan mendapati semua peralatan pejabat telah kosong walaupun bangunan itu berkunci.

“Suatu laporan polis terpaksa dibuat petang ini, dan kita menaruh keyakinan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat apa yang telah berlaku sebenarnya,” kata beliau.