Selama ini rakyat mudah ditipu dengan pelbagai janji manis menjelang pilihanraya umum. Janji pembangunan adalah janji wajib yang ditaburkan setiap kali pilihanraya berlangsung. Pelbagai sogokan seperti kain pelikat, jalan raya diturap, pecah tanah, subsidi baja, hamper, wang saguhati, basikal dan macam-macam lagi adalah lumrah bagi BN. Selepas pilihanraya berlangsung pemimpin yang dipilih rakyat ini hilang entah ke mana bersama janji mereka.
Rakyat pula sengaja dibiarkan hidup melarat terutamanya di kawasan pedalaman agar mereka terus berharap pemimpin BN boleh menghadirkan pembangunan. Kemiskinan rakyat adalah kebanggaan BN. Dalam kemiskinan itulah, rakyat akan meminta simpati mengharapkan sebekas bantuan terutama menjelang pilihanraya.
Pemimpin BN juga menanam dalam minda rakyat bahawa hanya BN mampu memerintah. Selain BN, pembangkang dianggap sesat dan pengkhianat. Pemimpin Pakatan Rakyat ditohmah dengan pelbagai fitnah yang direkayasa. Rakyat ditipu bahawa jika Pakatan Rakyat memerintah, rakyat akan hidup melarat dan susah. Inilah mentaliti kelas tiga yang cuba diputarbelitkan.
Demokrasi sebenar hanyalah mimpi di negara ini. Demokrasi yang dicipta hanyalah untuk menguntungkan diri pemimpin BN semata-mata. Dengan penyalahgunaan jentera kerajaan, manipulasi media yang berleluasa, daftar pemilih yang diragui, serta peranan SPR yang dicurigai menjadikan demokrasi Malaysia jauh tertinggal dengan negara lain. Kebebasan dan hak asasi rakyat dicerobohi. Rakyat dinafikan hak mendapatkan maklumat bebas dan telus.
Lantaran itulah, Pengundi Sarawak perlu bangkit menyanggah pemikiran lapuk dengan suatu persepsi baru bahawa tanpa BN rakyat akan hidup lebih selesa. Keadilan dan kesejahteraan tidak mampu lagi ditegakkan dibawah rejim BN. Jangan ada peluang buat BN memerintah buat sekian kalinya, kerana puluhan tahun mereka hidup mendera rakyat.
Jadikan Tsunami politik tahun 2008 di Semenanjung sebagai inspirasi untuk berubah di Sarawak, kerana perubahan itulah yang akan mengubah nasib rakyat. Rakyat di kerajaan negeri Pakatan Rakyat telah menikmatinya, kini tiba pula giliran pengundi di Sarawak!
YB MOHD FIRDAUS JAAFAR
Pengarah Pilihanraya
Dewan Pemuda PAS Pusat