‘Political Revenge’ Umno, Rakyat Tetap Jadi Mangsa

1720

Melihat perkembangan mutakhir ini, saya hanya mampu tersenyum kelat membaca tulisan ugut-mengugut dari pihak ahli Umno sekarang kepada bekas ahli Umno dan ugut balasnya. Mereka sangat yakin bahawa mereka tidak bersalah, tetapi sebaliknya pihak Umno lainlah yang bersalah.

Skandal Bumiputera Malaysia Finance (BMF) anak syarikat Bank Bumiputera Malaysia Berhad (BBMB) yang terjadi pada awal tahun 80-an dahulu ketika mula-mula Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri, tiba-tiba timbul sekarang. Skandal yang melibatkan jumlah wang yang hilang sebanyak kira-kira RM4.5 billion (menyamai RM18 billion nilai sekarang) menjadi misteri sehingga kini. Bukan sahaja wang rakyat hilang, malah, nyawa seorang pegawai BBMB, allahyarham Jalil Ibrahim juga melayang.

Berbagai versi yang didengar berkaitan dengan skandal ini, kita boleh membacanya dan menontonnya juga. Dikatakan Tun Mahathir telah dikaitkan oleh CIA dalam kes ini. Ada yang mengaitkan nama mantan Perdana Menteri allahyarham Tun Hussein Onn. Turut dipalit sama ialah Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Menteri Kewangan.

Kita yang berada di luar skandal ini, tidak mengetahui siapa yang sebenarnya bersalah, tetapi yang rakyat tahu, duit rakyat telah hangus ditelan oleh George Tan dan Kumpulan Carrian hasil dari skandal ini.

Tidak puas berbalah tentang skandal BMF, dikorek pula cerita lama skandal forex di Bank Negara Malaysia (BNM). Sebanyak RM44 billion pula didapati lesap. Cerita skandal yang berlaku pada awal tahun 90-an itu di’bintangi’ oleh bekas Menteri Kewangan I dan II, Tun Mahathir dan Tan Sri Nor Mohamed Yackop. Pernah Datuk Seri Anwar Ibrahim juga dipalit sama.

Katanya A. Kadir Jasin, ianya tentang mahu menyelamatkan RM. Manakala katanya musuh Tun Mahathir pula, BNM pernah diberi amaran oleh Gabenor Bank Pusat Amerika Alen Greenspan berkenaan permainan spekulasi mata wang itu dan akhirnya BNM rugi kira-kira RM44 billion wang rezab bagi rakyat Malaysia.

Diungkit pula kisah yang sangat tersohor ketika ini iaitu yang dikatakan sebagai skandal 1MDB oleh musuh-musuh Datuk Seri Najib tetapi sebagai perangsang ekonomi dakwa pendukung-pendukung PM. Pun begitu walau dikatakan bagi merangsang ekonomi, 1MDB hampir sahaja menggadaikan telaga minyak milik rakyat Terengganu dan menyebabkan perbalahan dalaman diantara bekas MB Terengganu,Dato’ Seri Ahmad Said dan PM. Jumlahnya tidak jauh berbeza dengan skandal yang lepas, kira-kira RM50 billion sahaja.

Semua kisah ini ada persamaan dalam satu maksud utama iaitu Umno. Semua nama-nama yang disebutkan kecuali allahyarham Jalil Ibrahim, adalah pembesar-pembesar Umno, yang mana, tiada seorangpun daripada mereka dikenakan tindakan oleh kerajaan Malaysia atas tuduhan seperti pecah amanah, menggelapkan duit rakyat atau yang setaraf dengan itu, walau jelas lebih RM50 billion wang rakyat lesap. Dipenjarakan pun tidak.

Setiap pembesar Umno, akan ada cerita gelap mereka. Sebab itu apabila mereka berkelahi, maka sisi gelap itu akan di’terang’kan oleh lawan mereka bagi ditunjukkan kepada orang ramai, mereka ini tidak boleh dipercayai. Dan apabila mereka berganding bahu kembali, maka sisi gelap itu akan diselimut kembali, menunggu untuk dibuka semula. Inilah budaya politik balas dendam atau ‘political revenge’ cara Umno…..Malu? Arrhh…jika malu, tak layak mereka menjadi pembesar Umno kerana antara syarat utama menjadi pembesar Umno ialah ‘tak tahu malu’.

Apapun kebejatan yang Umno buat, pasti yang maksima terpalit ialah rakyat. Rakyat adalah mangsa termudah bagi Umno untuk menipu dan melarikan diri kerana rakyat Malaysia masih ramai yang sayangkan Umno.

Jika perangai ini tidak diubah, maka tunggulah saatnya, rakyat akan melihat kehancuran negara yang lebih parah. Tiada siapa yang boleh rakyat salahkan kecuali diri sendiri kerana masih teguh menyokong Umno, walaupun Umnolah yang memiskinkan rakyat, menghina negara di mata dunia, membaham wang rakyat, menjual aset negara dan banyak lagi.

PAS konsisten menentang penyalahgunaan wang rakyat. PAS tidak pernah terbabit dalam melesapkan wang rakyat. Terbukti di Terengganu, apabila Umno berjaya merampas kembali Terengganu dengan cara yang ‘ajaib’ dibukakan kertas putih perihal pembalakan di Terengganu yang dikatakan diseleweng PAS.

Malang bagi Umno, kerana kertas putih itu sebaliknya memutihkan imej PAS, bukan menghitamkan. Di Kedah, sehingga kini, tiada satupun dakwaan salah laku terhadap kerajaan Negeri Kedah ketika di bawah PAS. Di Kelantan, TGNA pernah berkata, beliau membuka pintu 25 jam bagi SPRM menyiasat kerajaan Negeri Kelantan. Tetapi apapun yang berlaku, kerana takut dengan bayang-bayang sendiri, yang disalahkan Umno, DAP dan PAN, ialah PAS. Senada mereka sekarang.

Orang Umno dengan bekas orang Umno yang masih tidak insaf, mereka tetap sama, walaupun berbeza jersi dan pasukan. Pada ketika mereka memerintah, mereka gunakan semaksima mungkin kuasa yang mereka ada bagi mengaut apa-apa keuntungan dunia bagi mereka dan kroni-kroni dan menindas lawan mereka.

Tiada apa yang mereka kesalkan walaupun bukan setakat jutaan, malah billion wang rakyat mereka ‘kerjakan’ atau dihanguskan. Mereka tetap selamat, kebal daripada segala hukuman dunia ini. Oleh itu, marilah kita sama-sama membuang Umno setelah mereka membuang duit rakyat dengan rakusnya.

Namun begitu, PAS insyaAllah menerima dengan terbuka semua mereka yang insaf dan ingin kembali ke pangkal jalan Allah dengan syarat mereka ini mesti patuh dengan kehendak Allah.

YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu
10 Jamadilakhir 1438 bersamaan 8 Februari 2017