Saya menganggap kenyataan PM ini sebagai ucapan paling dangkal atau pendek akal dari seorang pemimpin negara terhadap rakyatnya. PM seperti mahu rakyat berfikiran negatif terhadap perubahan. Sepatutnya PM mengajar rakyatnya berfikiran positif dan melihat jauh ke depan, bukan berundur ke belakang dan duduk statik tanpa perubahan. Persoalannya, apakah PM seorang penentu takdir rakyat dan negara ini sehingga boleh tahu bahawa Pakatan Rakyat akan memerintah kelak lebih teruk daripada BN?
Agak dikesali kerana meskipun tindakannya dalam bentuk dasar negara sentiasa berbeza daripada PM sebelumnya, namun pemikirannya tetap terbelenggu dengan dogma lapuk iaitu hanya ‘BN sahaja layak memerintah’. Kenyataan PM menunjukkan bahawa beliau seorang diktator yang sombong, angkuh serta enggan menerima keputusan rakyat. PM gagal memahami bahawa Malaysia adalah sebuah negara demokrasi yang memberikan hak kepada rakyat memilih parti yang mereka inginkan. Hak demokrasi juga membenarkan mana-mana parti untuk memerintah jika mendapat mandat daripada rakyat.
Kenyataannya, memang PR belum mempunyai rekod memerintah negara, tetapi rekod akan tercatat sebaik sahaja PR menang kelak. Rekod itu juga yang dicatat oleh BN sewaktu mula-mula memerintah dahulu. Rakyat boleh menilai perkhidmatan PR secara telus dan jujur dan membuat perbandingan pula dengan BN jika memerintah kelak. Malah, negara akan terus maju dan membangun dengan baik apabila kedua-dua pihak, sama ada BN atau PR berlumba-lumba memberikan perkhidmatan dan dasar yang terbaik untuk rakyat.
Sepatutnya beliau memahami bahawa BN telah diberikan peluang memerintah selama lebih dari 50 tahun negara ini. Rakyat telah melihat tahap kemampuan BN dan menilai apakah tawaran PR yang gagal dilaksanakan oleh BN. Ternyata tawaran PR jauh lebih baik untuk rakyat berbanding apa yang diberikan oleh BN selama ini.
Elok juga PM menginsafi bahawa perubahan adalah perlu kepada setiap diri, masyarakat, rakyat dan negara. Perubahan akan mematangkan rakyat dan negara ini. Justeru, tidak wajar beliau gerun pada perubahan yang diinginkan oleh rakyat apabila tiba pada masanya. Jika tidak, rakyat sendiri akan mengajar beliau erti perubahan yang diingini sebagaimana yang dibuat oleh rakyat di negara timur tengah pada hari ini.
RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia