Perutusan Tahun Baru 2017 Pesuruhjaya PAS Terengganu

2675

Tahun 2016 akan meninggalkan kita dengan suka dan duka. Walaupun penuh warna-warni namun ‘warna hitam’ yang melambangkan kesedihan, lebih menyelubungi kehidupan warga Malaysia, terutamanya kepada rakyat negeri Terengganu.

Kedudukan ekonomi negara yang semakin tenat amat dirasai, ekoran ketidaktelusan, penyelewengan dan rasuah yang masih diamalkan dalam pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN).

Misteri derma RM2.6 bilion yang belum terjawab dan rampasan wang berjumlah RM112 juta susulan penahanan dua pegawai kanan Jabatan Air Sabah adalah tanda aras yang menjelaskan, betapa parahnya rasuah yang sudah menjadi barah.

Penurunan hasil minyak dan gas, ditambah dengan kejatuhan nilai matawang negara dan GST terus menolak naik harga barangan dan perkhimatan, menjadikan kos sara hidup rakyat semakin menghimpit.

Penutup tahun 2016 juga telah menyaksikan Umno dan Barisan Nasional sudah tidak mampu untuk menguruskan kebajikan rakyat apabila harga minyak naik bagi RON 95 sebanyak 20 sen dan RON 97, 15 sen serta Diesel menokok sebanyak 20 sen seliter.

Selamat Tahun BaruTahun 2016 juga telah menyaksikan bahawa Parti Islam SeMalaysia (PAS) terus komited untuk memperjuangkan Islam dengan pembentangan Rang Undang-undang Persendirian (Private Member’s Bill) oleh Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang selaku Ahli Parlimen Marang.

Cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) untuk memperkasa Mahkamah Syariah yang telah dikemukakan Presiden PAS membuktikan kita mahu rakyat negara ini bukan sahaja sejahtera di dunia, bahkan In shaa Allah, akan selamat di akhirat.

Justeru itu, bagi menempuh tahun 2017 yang mendatang, PAS menyeru dan mengajak seluruh rakyat melakukan perubahan dengan mengubah nasib diri sendiri.

Allah firman di dalam kitabNya al-Quran al-Karim;

إِنَّ اللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ ۗ

“Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri…..”[ Ar-Ra’d Ayat 11]

Mewakili Badan Perhubungan PAS Terengganu, saya dan semua pemimpin pelbagai peringkat, mengajak seluruh rakyat bersama-sama mereliasasikan perubahan itu, memilih kerajaan yang lebih baik, demi masa depan generasi Malaysia dan anak cucu rakyat Terengganu,

Ayuh kita lakukan bersama!

Yang benar,

YB Haji Satiful Bahri Mamat
Pesuruhjaya PAS Negei Terengganu
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka
2 Rabi’ul-akhir 1438 bersamaan 1 Januari, 2017