Saya selaku Pesuruhjaya PAS Terengganu mewakili kepimpinan PAS negeri Terengganu dan juga seluruh kepimpinan dan juga warga PAS peringkat kawasan-kawasan, DUN dan cawangan, merakamkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua warga PAS sendiri, dan juga kepada semua rakyat Terengganu.
Dan juga ucapan selamat saya kepada Perantau yang dalam perjalanan pulang untuk meyambut Hari Raya Aidilfitri.
Dikesempatan ini, kita mengharapkan supaya umat Islam khususnya rakyat negeri Terengganu terus istiqamah terutama bulan Ramadhan yang merupakan ‘bulan al-Quran, bulan taubat, bulan keampunan, bulan amal dan juga bulan jihad.
Semoga dengan amalan kita sepanjang bulan Ramadhan ini kita manfaatkan sebaik mungkin untuk kita menyambut kejayaan di Hari Raya Aidilfitri.
Para sahabat Rasulullah mereka berada di medan jihad dan medan perang, dan kita hari ini, gerak kerja jihad itu sama tetapi mengikut tempat, suasana, masa dan keadaan.
Matlamat kita tetap sama iaitu untuk mengangkat Islam kepada tempat yang paling tinggi, sebagaimana yang termaktub dalam hadis nabi SAW yang bermaksud;
“barang siapa yang beramal, bekerja untuk mengangkat agama Allah di tempat yang tinggi, maka dia berada pada jalan jihad fi sabilillah” dan hadis lain yang bermaksud;
“barang siapa yang bekerja dan berusaha melakukan apa sahaja yang menyebabkan agama Allah menjadi rendah, maka dia berada dalam jalan syaitan”.
Para sahabat menyambut hari Raya Aidilfitri yang merupakan hari yang dipilih oleh Allah SWT menggantikan perayaan-perayaan lain yang disambut pada zaman dahulu sebelum Rasulullah SAW.
Maka kita perlu manfaatkan hari raya ini sebagai hari untuk beribadat, untuk kita saling bermaaf-maafan, untuk kita saling kunjung mengunjungi antara satu sama lain.
Yang paling penting ialah, kita memanfaatkan kedatangan Hari Raya Aidilfitri ini untuk kita menyampaikan mesej perjuangan, mesej Jemaah kita untuk menegak dan mendaulatkan Islam untuk memartabatkan syariat Islam.
Serta juga untuk sama-sama menggembleng gerak kerja dakwah, tarbiah dan siasah, ke arah umat Islam yang beramal dalam Islam lebih baik dari semasa ke semasa.
Dikesempatan ini saya mengambil ruang di kalangan ahli kita dan seluruh masyarakat mengambil faham dengan apa yang bakal dibawa oleh Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang telah mengangkat ‘Rang Undang-undang Persendirian’ (Private Bill) untuk meminda undang-undang mahkamah syariah.
Dalam masa tempoh Hari Raya sehingga bulan-bulan seterusnya sehingga bulan Oktober apabila ia dibahaskan di Parlimen, kita mengharapkan rakyat semakin memahami syariah Islam ini dan mendukungnya sebagai umat Islam untuk kita sama-sama menunjukkan rasa bertanggungjawab kita.
Pada bulan Ramadhan Allah berfirman mewajibkan puasa dalam al-Quran, begitu juga lah Allah mewajibkan undang-undang Hudud dan Qisas.
Maka semua ini merupakan tuntutan dan kefardhuan serta merupakan ibadat yang perlu bagi kita untuk menggerakkan dan melaksanakannya dan kita juga mengharapkan agar rakyat, makin hari semakin faham dan boleh menerimanya sebagai jalan penyelesaian kepada masalah sosial dan jenayah yang berlaku pada persekitaran kita, yang makin hari semakin menggerunkan.
Islam adalah menjadi penyelesaian terbaik, dan saya mengambil kesempatan ini untuk menyeru semua pihak di kalangan meneruskan amalan ini dan bertanggungjawab menyampaikan mesej ini.
In sha Allah suatu hari nanti akan sampai juga waktunya suatu hari nanti, Islam akan tertegak di negara kita, terutamanya di negeri Terengganu yang merupakan tempat penemuan ‘Batu Bersurat’ yang menggambarkan bahawa Islam sudah berdaulat sejak 700 tahu yang lampau dan moga-moga kita boleh kembalikan zaman kegemilangan Islam itu!
Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin!
YB Ustaz Satiful Bahri B. Mamat
Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka
29 Ramadhan 1437H/ 04 Julai, 2016
https://youtu.be/nPiX8FgXODA



























