PERUTUSAN PRESIDEN PAS SEMPENA MAULIDUR RASUL 1447H

496

Sebagai umat Islam yang penuh kecintaan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, kita sentiasa mengingati pengorbanan Baginda sehingga sampainya cahaya Islam ke dalam hidup kita. Dengan hidayah Allah SWT, kita dapat mengecapi nikmat iman dan Islam yang tiada bandingannya.

Rasulullah SAW telah memulakan asas pembinaan negara dengan menyatukan umat Islam, antara Muhajirin dan Ansar, serta kabilah lain termasuk sahabat bukan Arab seperti Bilal bin Rabah RA dan Salman al-Farisi RA. Penyatuan ini berlandaskan keimanan yang teguh sebagai asas negara, di samping meraikan kepelbagaian masyarakat majmuk di Madinah.

Pendekatan Islam yang bersifat wasatiyyah dan kebijaksanaan Rasulullah SAW dalam mengurus negara menjadikan Islam diterima dengan baik oleh semua lapisan masyarakat. Inilah teladan yang wajar dicontohi dalam membina Malaysia yang sejahtera.

Sunnah Baginda adalah asas perjuangan kita hari ini. Kepimpinan Rasulullah SAW hendaklah dijadikan acuan dalam mengangkat agenda penyatuan umat. Sambutan Maulidur Rasul seharusnya diisi dengan tekad memperkukuh amalan sunnah, bukan sekadar dengan perarakan atau slogan, tetapi dengan penghayatan yang nyata.

Mudah-mudahan cinta kita kepada Rasulullah SAW semakin bertambah, dan daripadanya kita meraih cinta Allah SWT. Selamat menyambut Maulidur Rasul 1447H.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
12 Rabi‘ul Awwal 1447H / 5 September 2025