Perutusan Maulid Ar-Rasul Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu

1385

“Dan tidaklah kami mengutuskan engkau wahai Muhammad kecuali untuk membawa rahmat kepada sekelian Alam” (Al-Anbiya 107)

Segala puji-pujian ke hadrat Allah dan salawat serta salam keatas Nabi dan pesuruhNya, Muhammad SAW, yang dilahirkan kira-kira 1,384 tahun yang lalu.

Diantara tanda kasih sayang Allah SWT kepada hambanya ialah Dia mengutuskan seorang Rasul untuk membimbing umatnya dengan al-Quran dam as-Sunnah, ke arah jalan yang diredhai.

Imam al-Qurtubi menyatakan bahawa yang di maksudkan dengan ‘Al-Alamin’ itu ialah seluruh kejadian selain dari Allah SWT. Ertinya semua makhluk samada manusia, binatang, tumbuhan, semua benda termasuk dunia ini dan seisinya, mendapat rahmat dengan kelahiran Nabi Muhammad SAW.

Dengan makna lain, seluruh alam ini mendapat belas kasihan, kurnia berkat dan kelebihan dari kebenaran, kerana lahirnya utusan tuhan dari kalangan manusia itu sendiri.

Ia menjadi satu hikmah yang amat besar apabila Allah SWT melahirkan Rasulluh SAW di tengah masyarakat ‘jahiliyyah’, zaman kebodohan semua penduduk di dunia, khususnya orang-orang Arab, yang tidak dapat membezakan antara intan dan permata.

Rasulullah meletakkan asas akidah Islam yang kukuh, telah berjaya mengubah masyarakat iaitu sekumpulan manusia yang hidup daalam lembah kebatilan kepada cahaya kebenaran. Komuniti yang dahulunya menyembah patung berhala sebagai tuhan mereka, yang membunuh anak-anak perempuan, menindas yang lemah, telah bertukar menjadi masyarakat yang penuh beradab dan bertamadun, hidup dalam kasih sayang serta saling hormat menghormati sesama manusia.

Ajaran agama Islam hanya satu-satunya di dunia ini, yang telah berjaya merombak segala sistem dan cara hidup manusia. Rasulullah menunjukkan satu contoh unggul yang terbaik, dari seorang manusia biasa sehingga kepada seorang pemimpin sebuah negara, mencipta sejarah yang tidak ada tandinganya sehingga ke zaman serba moden dan canggih masakini.

Parti lsam SeMalaysia (PAS) sebagai sebuah wadah siasah dan dakwah sejagat, telah meletakkan perlaksanaan syariat Islam sebagai dasar dan matlamat perjuangannya, yang akan terus menerus, menggemblengkan seluruh tenaga serta usaha, mengajak seluruh rakyat jelata agar kembali kepada Islam yang menyeluruh.

PAS yakin tiada penyelesaian sebaik Islam dalam menghadapi semua kemelut yang sedang melanda rakyat, kepimpinan dan negara sekarang ini.

Sesungguhnya, ia adalah agama yang benar, sistem serta cara hidup yang paling tepat untuk menyelesaikan segala permasalahan manusia. Segala sistem yang lain daripadanya samada yang datang dari Barat atau Timur; nasionalis, pragmatis, sosialis dan lain-lain, hanya membawa kehampaan dan kemusnahan kepada manusia.

Mewakili suluruh saf kepimpinan Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT), saya menyeru, marilah pada hari ini, sempena kita memperingati hari kelahiran manusia terpilih Muhammad SAW dan pada ulang tahun Maulid Ar-Rasul ini, kita merungkaikan segala kepalsuan dan meletakkan diri kita benar-benar mengikuti jalan yang dibawa oleh Rasul yang agung itu.

Inilah Penyelesaian Kita!

Selamat Menyambut Maulidur Rasul.

YB Haji Satiful Bahri Mamat
Pesuruhjaya
Badan Perhubungan PAS Neger Terengganu
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka

12 Rabi’ul-Awwal 1438H/ 12 Disember 2016M