Isu Moral Dan Keselamatan Sekolah ; Pendekatan Menyeluruh Untuk Menjamin Keharmonian

403

Bulan Oktober ini menyaksikan beberapa insiden tragis dan menyedihkan yang melibatkan pelajar sekolah rendah dan menengah di negara kita. Antara kes yang mendapat perhatian luas di media termasuklah kes bunuh diri, kes rogol dan yang terbaharu, insiden pelajar tingkatan empat yang ditikam hingga maut.

Hakikatnya, apa yang dilaporkan hanyalah sebahagian kecil daripada pelbagai isu lain yang mungkin masih berlaku di luar sana tanpa diketahui umum. Situasi ini amat membimbangkan kerana ia mencerminkan krisis nilai dan moral dalam kalangan pelajar yang sedang membentuk jati diri.

Isu ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia bukan sekadar soal disiplin, tetapi melibatkan akhlak, emosi dan kesejahteraan anak-anak yang bakal menjadi pewaris masa depan negara. Nilai moral dan sahsiah ini perlu dipupuk dan dipelihara agar mereka tidak mudah terdedah kepada budaya negatif serta pengaruh luar yang boleh memesongkan pemikiran dan hala tuju kehidupan.

Saya berpandangan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) khususnya YB Menteri Pendidikan perlu mengambil langkah serius dan proaktif dalam memperkukuh serta memperbetulkan kelompongan yang wujud dalam sistem pendidikan sedia ada.

Namun begitu, masalah yang berlaku ini tidak wajar dilihat berpunca daripada sistem pendidikan semata-mata. Ia melibatkan keseluruhan ekosistem sokongan termasuk ibu bapa, guru, masyarakat, persatuan penduduk dan pimpinan setempat di kawasan tersebut.

Saya ingin mencadangkan kepada KPM dan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu supaya hubungan strategik diwujudkan antara pihak sekolah dengan kepimpinan setempat, khususnya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan dan juga Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK). Langkah ini penting bagi memastikan tidak berlaku lagi insiden-insiden tidak diingini pada masa akan datang di tempat-tempat lain.

Di setiap kampung, kita sudah pun mempunyai struktur komuniti yang tersusun melalui Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK). Dari sinilah peranan dan kerjasama itu boleh dimulakan.

Sekiranya terdapat pelajar yang tinggal di kampung tersebut menghadapi sebarang masalah, maklumat berkenaan boleh disalurkan oleh JPKK kepada pihak sekolah untuk perhatian serta tindakan lanjut.
Begitu juga sebaliknya apabila pihak sekolah mengenal pasti pelajar atau keluarga yang berdepan kesulitan, perkara ini boleh dimaklumkan kepada JPKK agar bantuan, pemantauan dan intervensi dapat dilaksanakan di peringkat komuniti secara lebih cepat dan berkesan.

Dalam konteks ini, peranan ADUN yang menyelaraskan isu dan masalah amat penting untuk memastikan setiap permasalahan dapat ditangani dengan sistematik dan bersepadu, dengan penglibatan pihak-pihak berkepentingan termasuk jabatan kerajaan, agensi sosial, dan pihak berkuasa tempatan.

Di negeri Terengganu khususnya, saya ingin menegaskan bahawa urusan pendidikan tidak wajar dipolitikkan. Pendidikan adalah soal membina manusia dan masa depan negara. Tidak kira sama ada ADUN itu daripada pihak kerajaan atau pembangkang, hubungan baik antara sekolah dan wakil rakyat perlu diwujudkan demi kepentingan bersama.

Saya sendiri pernah berdepan kesukaran untuk berhubung dengan pihak sekolah kerana wujud kebimbangan dalam kalangan guru untuk bekerjasama disebabkan faktor politik. Keadaan seperti ini tidak sihat dan perlu diperbetulkan. Sekolah dan pendidikan adalah institusi yang suci serta bebas daripada sentimen kepartian.

Seandainya pendekatan ini dapat direalisasikan, saya selaku ADUN Wakaf Mempelam melalui Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Wakaf Mempelam akan tampil sebagai antara yang terawal untuk mengadakan jalinan kerjasama ini di semua sekolah dalam kawasan DUN Wakaf Mempelam.

Usaha ini bukan sahaja bagi memperkukuh hubungan antara sekolah dan masyarakat, tetapi juga untuk membina sistem sokongan yang lebih kukuh demi keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan pelajar di kawasan ini.

Marilah kita bersama-sama melihat pendidikan sebagai tanggungjawab bersama agar anak-anak kita dapat membesar dalam suasana yang aman, selamat dan berakhlak mulia, dengan sokongan padu daripada seluruh lapisan masyarakat.

YB Dato’ Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah
Setiausaha PAS Terengganu
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan Dan Kesihatan Negeri Terengganu
ADUN Wakaf Mempelam