Amalan membaca Surah Yasin tiga kali pada malam Nisfu Syaaban memang popular dalam masyarakat Melayu, khususnya di Malaysia dan Nusantara.
Amalan tersebut biasanya dilakukan selepas Maghrib malam 15 Syaaban, dengan susunan, Yasin pertama dibaca dengan niat panjang umur dalam ketaatan.
Manakala Yasin kedua dibaca dengan niat murah rezeki dan dijauhkan bala Dan Yasin ketiga dibaca niat husnul khatimah (akhir hidup yang baik)
Selepas itu, pada kebiasasnnya akan dibaca doa khusus Nisfu Syaaban.
Hukum Baca Yasin Tiga Kali
Dalam Islam perlu difahami dengan jujur dan berimbang: membaca Yasin Tiga Kali pada malam nisfu syaaban adalah dibenarkan.
Pada umumnya, membaca al-Quran adalah ibadah yang sah dan berpahala serta berdoa dengan hajat tertentu juga diharuskan termasuk dalam fadā’il al-a‘māl (amalan kelebihan)
Namun begitu per5buatan tersebut TIDAK WAJIB Dan BUKAN SUNNAH KHUSUS kerana tiada hadis sahih yang menyebut:
Yasin mesti dibaca tiga kali pada malam nisfu syaaban.
Nabi SAW tidak pernah menetapkan amalan ini secara khusus dan berdasarkan pandangan ulama Ahlus Sunnah (termasuk sebahagian Syafi‘iyyah) menganggapnya amalan harus selagi, tidak dianggap wajib dan tdak mendakwa “ia sunnah Nabi”
Manakala umumnya para ulama menyarankan, pada malam nisfu syaaban, cukup dengan ibadah umum: solat, doa, istighfar.
Kelebihan Malam Nisfu Syaaban
Ada beberapa hadis yang sahih berkaitan bulan Sya’ban, seperti: Nabi SAW banyak berpuasa pada bulan Sya’ban (al-Bukhariy & Muslim), kelebihan berpuasa secara umum pada bulan Sya’ban kerana amalan diangkat pada bulan tersebut (riwayat Ahmad & al-Nasaiy) dan hukum-hakam puasa sunat pada bulan Sya’ban.
Ada juga hadis berkaitan kelebihan bulan Sya’ban dan Nisfu Sya’ban yang dinilai palsu serta tiada asalnya oleh para ulama hadis, seperti hadis: “Sya’ban bulanku” dan hadis Allah mengutuskan malam Nisfu Sya’ban kepada Jibril AS.
Hadis kelebihan berpuasa khusus sempena Nisfu Sya’ban juga tiada yang sahih. Manakala jika sekadar berpuasa sunat biasa atau puasa hari-hari putih (13, 14, 15) maka ia digalakkan.
Hadis solat khas Nisfu Sya’ban (100 rakaat-setiap rakaat dibacakan 10x surah al-Ikhlas) dinilai palsu oleh ramai ilmuwan hadis, antaranya: Ibn al-Jawziy, al-Dzahabiy, al-‘Iraqiy, Ibn Hajar al-Haytamiy, al-Syawkaniy, dan lain-lain.
Al-Tartusyiy menyebut solat ini diwujudkan pada kurun ke-5h oleh seorang lelaki dari Nablus, Palestin.
Tiada dari kalangan imam 4 mazhab fiqh utama dunia yang menggalakkan solat khas ini, baik Abu Hanifah, Malik, al-Syafi’iy, Ahmad, mahupun ulama-ulama hadis agung lain.
Tiada dalil sahih akan kelebihan malam Nisfu Sya’ban baik dari hadis Nabi SAW, mahupun athar para sahabat RA. Hadis dha’if yang diriwayatkan oleh Ibn Majah mengenai Allah mengampunkan dosa hambanya pada malam Nisfu Sya’ban pula tidak menunjukkan sebarang kelebihan khusus malam tersebut, kerana dalam Sahihayn, setiap malam Allah mengampunkan mereka yang memohon keampunan-Nya serta memakbulkan doa yang meminta pada satu pertiga akhir malam, tidak khusus pada malam Nisfu Sya’ban.
Sebahagian ahli Syam dari kalangan Tabi’in seperti Khalid bin Ma’dan dan lain-lain dilihat sebagai yang terawal memuliai malam Nisfu Sya’ban ini dengan menambah kesungguhan dalam beribadah padanya.
Ibn Rajab mengatakan ia berdasarkan athar Israiliyyat berkenaan kelebihan malam tersebut yang sampai kepada mereka (terdapat satu athar dari Nabi Dawud AS namun sanadnya penuh dengan perawi yang tidak dikenali.
Namun imam ahli Syam al-Awza’iy mengingkari perbuatan berhimpun di masjid demi meraikan malam tersebut.
Manakala ramai dari kalangan ulama Hijaz yang sezaman dengan ulama-ulama Syam di atas seperti ‘Ata’ bin Abi Rabah, Ibn Abi Mulaykah dan beberapa ashab Malik di Madinah lebih bertegas dengan menegah dari mengistimewakan ibadah pada malam tersebut walau secara bersendirian di rumah.
Sebaik-baik petunjuk ialah petunjuk Nabi SAW, para sahabat baginda RA mereka yang mengikuti petunjuk mereka.





























