Perlu Peruntukan Besar Kawal Perairan

1116

Oleh : Nooreni Abu Bakar

DUNGUN – Terengganu yang mempunyai pantai sepanjang 244km memerlukan peruntukan besar untuk mengadakan kawalan daripada pencerobohan nelayan asing.

Ahli Parlimen Dungun, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli berkata, beliau telah membangkitkan perkara tersebut pada persidangan Dewan Rakyat.

“Disebutkan tentang kekurangan kos untuk pemantauan bagi menempatkan kapal armada tentera untuk berkawal dan melakukan rondaan,” katanya.

Beliau yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Dungun berkata demikian pada Majlis Santai Exco Bersama Nelayan di Dewan Sivik Seberang Pintasan pada Ahad, 26 Ogos.

Kata beliau, muara sungai Dungun yang sangat cetek sering menjadi risio dan telah meragut nyawa para nelayan terutamanya apabila tiba musim tengkujuh.

Katanya, hasil tangkapan ikan tidak boleh dibawa masuk kerana terhalang ekoran keadaan air kuala sungai yang yang dangkal.

“Akhirnya kita kehilangan jumlah pendaratan ikan yang sepatutnya di Jeti LKIM kita sendiri, tetapi tidak boleh dilakukan,” ujar beliau dengan nada kecewa.

Menurut beliau lagi, kerugian ini terpaksa ditanggung kerana kos pembinaan sangat besar, perlu dipohon kepada kerajaan pusat untuk membina pemecah ombak.

Majlis dialog antara Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa, Dr. Azman Ibrahim dengan nelayan-nelayan telah memberi peluang kepada mereka mengemukakan berbagai soalan dan cadangan.

Sementara itu ADUN Rantau Abang, YB. Cikgu Alias Harun, berharap, dengan adanya majlis tersebut dapat mengurangkan permasalahan yang dihadapi oleh nelayan-nelayan terbabit.

“Seberang Pintasan ini 90 peratus adalah nelayan, rata-rata kerja buatnya ke laut, dengan pertemuan dengan exco sendiri, tak banyak, sikit masalah dapat diatasi”, ujar beliau ketika ucapan alu-aluan.

Majlis tersebut turut dihadiri ADUN Sura, YB Cikgu Wan Hapandi Wan Nik.