Oleh KAM
DUNGUN – Pertemuan tidak rasmi dalam kunjungan hormat oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Dato’ Mustafa Ali dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana Putrajaya, bagi mengukuhkan hubungan dua hala.
Sehubungan itu, Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya berbesar hati dengan penerimaan Tun Dr Mahathir secara positif itu.
Menurutnya, dalam pertemuan pertama tidak rasmi itu tiada agenda khusus yang dibincangkan antara kedua-dua pihak.
“Pertemuan (4 Jun) pagi tadi adalah pertemuan tidak rasmi dan kunjungan itu tidak ada apa-apa agenda khusus. Apa pun, kami amat berbesar hati atas penerimaan YAB Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Apa yang pentingnya ialah bahawa keperluan untuk kita (PAS) perkasakan, perkukuhkan hubungan antara kerajaan negeri dengan kerajaan pusat.


“Keperluan menjalinkan hubungan yang lebih baik. Alhamdulillah, kami di peringkat kerajaan negeri Terengganu membawa mesej, kami amat menghargai akan peranan, hubungan yang perlu diperkukuhkan antara kerajaan negeri dengan kerajaan pusat.
“Alhamdulillah, Tun (Mahathir) juga memberi respon yang sangat positif. Kita ingin membina negeri dan negara ke hadapan. Perkara yang lepas itu sudah lepas, dan kita ingin membina (negara) ke hadapan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Kesyukuran dan Berbuka Puasa Bersama Menteri Besar Terengganu di Masjid Hadhari, Paka, Dungun, semalam Isnin 4 Jun.
Ditanya adakah kerajaan PAS Terengganu membincangkan isu tuntutan royalti, Dr Ahmad Samsuri memaklumkan pihaknya, belum bersedia mendedahkan apa-apa perbincangan itu kepada pihak media.






























